Kerajaan dicabar wujudkan KPI - Utusan Malaysia

Kerajaan dicabar wujudkan KPI

Syed Johan Rizal Syed Unan Mashri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan dicabar mewujudkan satu petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai penanda aras terhadap kejayaan atau kegagalan dalam menguruskan pandemik Covid-19 yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk pulih ketika ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sekiranya kerajaan gagal mencapai indikator seperti ditetapkan KPI itu, maka Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan Kabinet perlu melepaskan jawatan kerana gagal menjalankan tanggungjawab secara kompeten.

Malah, katanya, di negara lain sudah ada kerajaan yang gagal dalam mengawal kesan pandemik, melepaskan jawatan seperti Perdana Menteri Slovakia, Igor Matovic.

“Ini cabaran rakyat kepada pimpinan kerajaan. Adalah mulia melepaskan jawatan dengan menyerahkan kepada mereka yang berkebolehan serta layak memimpin negara semasa krisis.

“Perbuatan untuk berundur daripada jawatan, keistimewaan dan kemewahan demi menyelamatkan rakyat serta negara juga mulia. Wujudkanlah sedikit perasaan dalam hati untuk mengundur dengan hormat demi menyelamatkan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, tindakan rakyat meletakkan #kerajaangagal dalam media sosial yang menjadi trend, bukanlah sesuatu yang menghairankan.

“Tinjauan pendapat banyak pihak mendapati rakyat sememangnya merasakan kerajaan gagal menguruskan pandemik ini. Perkara ini mencerminkan kegagalan mengurus bencana pada tahap amat teruk.

“Adalah sesuatu yang jelik barisan Kabinet sendiri berselisih pendapat. Kesan kepada kekeliruan ini amat teruk kerana melibatkan perancangan sektor ekonomi terutamanya di pihak swasta,” katanya.

Tambahnya, ketika ini, negara tidak boleh lagi dibiarkan berada dalam kegagalan, malah, harus diselamatkan daripada kehancuran.

“Segeralah lakukan yang terbaik dan berkesan atau undur saja jadi jawatan. Berhentilah dari memperkotak-katikkan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan sama sekali tidak perlu untuk mengambil langkah sia-sia termasuk menjenamakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Pelan Pemulihan Negara.

“Sedang negara maju sudah merancang program ‘post Covid’, kita masih pula bercerita tentang prosedur operasi standard (SOP) yang caca merba. Orang ramai sudah letih dengan peraturan tidak seragam, undang-undang terpilih dan dasar kerap berubah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya