SEREMBAN: Sebanyak 52 kes gangguan emosi dikendalikan Bahagian Psikologi dan Kaunseling Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 1 Jun sehingga 22 Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, daripada jumlah tersebut, 49 kes gangguan emosi itu disebabkan masalah kewangan dan terputus sumber makanan.
“Tiga lagi kes pula adalah melibatkan keganasan rumah tangga. Bagaimanapun, tiada spesifik kes kemurungan yang dilaporkan setakat ini dan hanya melibatkan tekanan hidup.
“Sumber ini adalah melalui panggilan telefon ke jabatan dan aduan di Talian Kasih 15999,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, antara usaha dilakukan JKM adalah menjalankan khidmat nasihat dan sokongan psikososial, rujukan ke agensi lain serta rujukan bagi bantuan kewangan dan bantuan bakul makanan JKM bagi kes-kes bersesuaian.
“Kes gangguan emosi sepanjang PKP merekodkan trend penurunan iaitu sebanyak 97 kes pada awal tahun sehingga Jun ini berbanding 319 kes pada tahun lepas dalam tempoh yang sama.
“Bagaimanapun, kami tidak boleh leka dan sentiasa memantau keadaan ini. Talian kasih 15999 sentiasa dibuka 24 jam dan boleh dihubungi pada waktu pejabat menerusi JKM Negeri Sembilan di talian 06-7659332 atau e-mel [email protected],” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, berhubung kes suami mengurung isteri dan anak-anaknya di rumah mereka baru-baru ini, lelaki berkenaan telah dibawa mendapatkan rawatan oleh keluarganya sama ada secara perubatan moden dan tradisional.
“Suami mangsa mempunyai ada rekod masalah mental dan bukan kerana kehilangan pekerjaan akibat PKP,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE