Jemputan Istana Negara: Tiada makluman rasmi oleh pucuk pimpinan Bersatu - Utusan Malaysia

Jemputan Istana Negara: Tiada makluman rasmi oleh pucuk pimpinan Bersatu

WAN Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, beramah mesra dengan petugas MyVac ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Seremban hari ini.-FOTO/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiada sebarang makluman rasmi daripada pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai isu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin utama setiap parti, bermula esok.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, walaupun perkara itu ada dilaporkan oleh media, namun, beliau secara peribadi tidak menerima makluman rasmi daripada kepemimpinan Bersatu.

“Buat masa ini, saya tidak menerima sebarang berita rasmi daripada pucuk pimpinan parti saya, walaupun ada laporan di akhbar arus perdana mengenai jemputan ini.

“Jikapun ada (perjumpaan), bagi saya tiada masalah, Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara, baginda berhak menitah untuk memanggil mana-mana pucuk pimpinan bagi mendapatkan pandangan mengenai hal-hal semasa, saya serahkan kepada Agong untuk menggunakan budi bicara bagi menentukan apakah jalan terbaik untuk kita memerangi Covid-19,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Majlis Bandaraya Seremban dekat sini dan bertemu dengan sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) di PPV tersebut hari ini.

Desas-desus mengenai perjumpaan tersebut yang dikatakan berkaitan pentadbiran baharu hangat diperkatakan selepas laman sesawang berkait Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, Yang di-Pertuan Agong memanggil pemimpin parti itu mengadap di istana antara 9 Jun hingga 11 Jun depan.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal memaklumkan pembukaan lebih banyak PPV di seluruh negara juga secara tidak langsung meningkatkan permintaan terhadap sukarelawan MyVAC.

“Sukarelawan ini mendapat maklum balas yang baik, petugas Kementerian Kesihatan juga berterima kasih kerana sukarelawan ini anak muda ini dapat membantu perjalanan proses pemberian vaksin ini.

“Dalam pangkalan data Kementerian Belia dan Sukan, kami ada 30,000 orang sukarelawan yang berdaftar namun kami gerakkan hanya 3,000 orang bagi MyVAC. Kami bergantung kepada belanjawan yang diluluskan kabinet bagi tujuan pembayaran elaun petugas-petugas ini,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya