PETALING JAYA: Kerajaan harus berani untuk memperuntukkan suntikan fiskal yang lebih tinggi dalam program bantuan Pemerkasa Plus bagi membantu rakyat menghadapi sekatan pergerakan penuh bermula semalam.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, sekalipun ia akan meningkatkan tahap hutang negara, kerajaan tidak perlu risau memandangkan keutamaan kerajaan ketika ini adalah terhadap kesejahteraan rakyat.
“Dengan kutipan cukai langsung dan tidak langsung yang dijangka berkurang serta tiada pengenalan cukai baharu, secara rasionalnya suntikan fiskal tersebut akan menjadi hutang baharu.
“Bagaimanapun, kita tidak seharusnya risau terhadap pertambahan hutang itu kerana ia adalah pelaburan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan Pemerkasa Plus berjumlah RM40 bilion kelmarin, yang RM5 bilion daripadanya merupakan suntikan fiskal langsung daripada kerajaan.
Pakej bantuan itu turut menyediakan pemberian moratorium selama tiga bulan kepada golongan B40 dan industri yang terkesan buruk selepas pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula semalam.
Menurut Baharom, memandangkan negara ketika ini ditadbir di bawah Ordinan Darurat, kerajaan lebih bebas dalam penggubalan dasar, termasuk dalam soal kewangan negara.
Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan harus mengutamakan kelestarian, kesihatan ekonomi serta kemakmuran rakyat untuk jangka panjang dan tidak lagi memikirkan kesan jangka pendek.
“Bantuan tunai atau subsidi khas buat yang terkesan teruk sama ada individu, usahawan mikro, nano dan kecil wajib diberikan kerana tanpanya kelangsungan hidup rakyat akan tergugat.
“Lebih-lebih lagi, kerajaan kini ditadbir di bawah akta Ordinan Darurat yang lebih mudah untuk melepasi atau melangkaui had statutori hutang negara,” katanya.
Kementerian Kewangan pada Mac lalu menjelaskan hutang negara berada pada paras RM820.7 bilion atau 58 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat penghujung 2020 dan jumlah itu diunjur meningkat kepada 58.5 peratus berbanding KDNK tahun ini. – UTUSAN ONLINE










