KUANTAN: Persidangan Dewan Rakyat perlu segera dibuka untuk membolehkan ahli Parlimen bersama-sama membincangkan isu yang membelenggu rakyat ekoran pandemik Covid-19 terutama dalam menangani gejala bunuh diri.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, persidangan itu menjadi wadah untuk menggubal dasar maka pembukaannya perlu disegerakan.
“Jika kita lihat kes bunuh diri untuk suku pertama tahun ini, ia menunjukkan aliran yang amat menakutkan. Jumlah untuk tiga bulan pertama tahun ini melebihi dari separuh keseluruhan kes bunuh diri pada 2020.
“Bagaimana pula jumlah di akhir suku kedua pada hari ini? Bagaimana sekiranya kita ekstrapolasi sehingga ke hujung tahun? Adakah kemungkinan berlaku peningkatan 100 peratus kes bunuh diri dari tahun 2020? Jadi, sidang Parlimen perlu disegerakan bagi mengatasi perkara ini,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebooknya di sini hari ini.
Terdahulu, Fuziah membawa soalan Parlimen ke domain awam untuk meminta Menteri Kesihatan mendedahkan statistik bunuh diri terkini berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Susulan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melaporkan jumlah bunuh diri untuk tiga bulan pertama tahun ini seramai 336 kes dan sebanyak 631 kes bunuh diri dilaporkan sepanjang tahun lalu berbanding 609 kes sepanjang pada 2019.
Mengulas statistik berkenaan, Fuziah berkata, ternyata jumlah kes bunuh diri jauh lebih tinggi daripada yang dijangkakan sebelum ini.
“Sekiranya tiada langkah yang drastik dilakukan dengan segera, mungkin jumlah kes bunuh akan bertambah.
“Saya khuatir dan mengandaikan peningkatan boleh menjadi kenyataan kerana ia seolah-olah seperti bom jangka yang menunggu masa meletup.
“Dengan itu, saya turut mencadangkan semua elemen positif dalam negara melibatkan talian psikososial kerajaan dan badan sukarela perlu lebih agresif membantu dalam menangani permasalahan ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE