PETALING JAYA : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii berkata, istana merupakan jalan terakhir untuk rakyat negara ini bernaung setelah berdepan dengan pelbagai masalah melibatkan urus tadbir kerajaan.
Katanya, kerajaan yang stabil akan berani menegur dan melaksanakan kerja demi rakyat.
“Teguran Istana Negara terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu tamparan hebat dan ingatan kepada beliau untuk melihat semula adakah beliau benar-benar mampu memimpin menteri-menteri beliau?
“Kita menegur kerajaan atas sebab keputusan yang dilakukan beliau tidak membantu rakyat keluar dari situasi keselamatan.
“Muhyiddin juga harus bertanggungjawab terhadap segala kegagalan kerajaan sehingga kes-kes meningkat disebabkan keputusan beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










