KUALA LANGAT- Kerajaan negeri merancang untuk membangunkan sebahagian kawasan Hutan Simpan Kuala Langat (HSKL) Selatan sebagai lokasi tapak pertanian selepas ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian berkata, Jabatan Perhutanan Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bakal melaksanakan usaha itu bagi memudahkan proses kawalan dan pemantauan kebakaran di kawasan terlibat.
“Kawasan hutan bertanah gambut di situ seringkali berdepan ancaman berikutan berlaku kejadian kebakaran pada setiap tahun.
“Kita cadang untuk keluarkan permit penggunaan hutan buat mereka yang berminat menjalankan tanaman pertanian seperti kontan dan sebagainya dengan menggunakan teknologi lebih canggih,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat operasi memadam kebakaran barang kitar semula di Jeti Pulau Carey hari ini.
Loy Sian berkata, dengan pemberian permit bertani di kawasan tersebut, petani akan dapat membantu memantau sebarang insiden kebakaran di kawasan sekitar dan memberi maklumat kepada pasukan penyelamat dengan lebih cepat.
Dalam pada itu, Loy Sian berkata, Sabtu lalu, kawasan HSKL Selatan seluas kira-kira 2.83 hektar (tujuh ekar) sekali lagi terbakar dan usaha pemadaman api masih dijalankan sehingga kini oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Jelasnya, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada tindakan petani haram di kawasan berkenaan yang melakukan pembakaran terbuka.
“Disebabkan kawasan ini agak terpencil, ada pihak ambil kesempatan untuk membuat tanaman di sini.
“Kita berharap agar api kebakaran di lokasi terlibat akan dapat dipadamkan dalam masa terdekat,” katanya.- UTUSAN ONLINE










