PUTRAJAYA: Sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) masih wujud dan digunakan kerajaan untuk pemantauan premis yang dikunjungi pesakit Covid-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, beliau sendiri sentiasa meneliti laporan semasa HIDE yang diterbitkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC).
“Saya pada setiap hari akan menyemak terlebih dahulu analisis HIDE dan sebagai menteri, saya boleh terus mengarahkan tindakan susulan dibuat pantas di lokasi berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar mingguan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 bersama-sama dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin di sini hari ini.
HIDE mula digunakan sejurus mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 4 Mei lalu bersetuju bagi penyenaraian lokasi berisiko sebagai sistem amaran awal penularan pandemik.
Perkongsian maklumat senarai premis terbabit dapat membantu masyarakat agar membuat perancangan perjalanan dan menghindari lokasi panas yang ada jangkitan wabak tersebut.
Sistem baharu itu mencetuskan kontroversi pada awal pelaksanaannya apabila banyak bazar Ramadan terpaksa ditutup selama beberapa hari ekoran dikunjungi kontak rapat Covid-19.
Mengulas lanjut, Adham berkata, ramai mungkin tidak sedar kepentingan HIDE berbanding pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sesuatu lokaliti tertentu.
“Hasil data bersepadu daripada HIDE, kerajaan boleh mengarahkan penutupan premis atau melaksanakan sanitasi awam sebelum berlaku penularan di kawasan terbabit,” tambahnya.
Menyentuh kadar penggunaan katil oleh pesakit Covid-19, beliau berkata, sepanjang minggu epidemiologi ke-25 iaitu dari 20 Jun sehingga 26 Jun, ia merekodkan penurunan dua peratus.
Begitu juga katil di unit rawatan rapi (ICU) apabila berlaku pengurangan dua peratus iaitu 83 peratus daripada 1,819 katil yang diisi berbanding minggu epidemiologi ke-24 sebelumnya.
Keadaan sama turut dilaporkan untuk katil pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan apabila merosot dua peratus iaitu hanya 59 peratus daripada sejumlah 2,213 katil.
“Bagaimanapun, ada pertambahan dua peratus lagi untuk pengisian katil di pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah Covid-19 (PKRC) di negara ini kepada 47 peratus,” kata Adham.
Ketika ini, terdapat sebanyak 88 buah PKRC aktif di seluruh negara termasuk dikendalikan pihak swasta yang menawarkan sejumlah 33,793 katil untuk pesakit berisiko tahap 1 dan 2. -UTUSAN ONLINE