Haji: Kena tunggu 100 tahun - Utusan Malaysia

Haji: Kena tunggu 100 tahun

TAHUN ini belanja untuk menunaikan haji dijangka meningkat sehingga 25 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tempoh menunggu giliran haji rakyat Malaysia dijangka semakin panjang iaitu lebih 100 tahun sekiranya bakal jemaah haji baharu membuat pendaftaran untuk menunaikan rukun Islam kelima berkenaan tahun ini.

Ia berikutan situasi pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sehingga kerajaan Arab Saudi membuat peraturan ketat dengan tidak membenarkan jemaah luar bagi mengelak penularan jangkitan wabak.

Keputusan terkini Arab Saudi itu juga mengakibatkan jemaah haji yang sepatutnya ke tanah suci pada tahun 2020 perlu ditangguhkan dua tahun lagi, se­kali gus giliran menunggu bagi tahun berikutnya terpaksa dian­jakkan ke tahun selepasnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tour Sdn. Bhd. (Andalusia), Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, jumlah jemaah haji juga semakin bertambah kerana Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) membuat ketetapan bahawa jemaah Haji tahun 2020 diutamakan untuk menunaikan fardu itu pada tahun 2022, namun bergantung kepada kebenaran Arab Saudi.

“Jika ikutkan kuota 2019, jumlah jemaah negara setiap tahun seramai 30,200. Jika jumlah ini yang sepatutnya pergi ke tanah suci pada tahun 2020, ditambah pula dengan jumlah jemaah pada tahun 2021 dan 2022, maka ia berjumlah seramai 90,600 jemaah.

“Pada pendapat saya jika dibenarkan haji pada tahun 2022, besar kemungkinan jumlah kesemua lebih 90,000 itu tidak diberikan semua, tentunya akan diberikan ikut jumlah tahun semasa atau dalam separuh jumlah sahaja. Jadi baki jemaah yang separuh itu akan ditunda pula pada tahun 2023 nanti.

“Jadi bayangkan mereka yang baru mendaftar sekarang pun perlu tunggu lebih 100 tahun, dan jika keadaan ini terus berlaku, mereka perlu menunggu lebih lama,” katanya di sini semalam.

Namun, kata Md. Daud, Tabung Haji pastinya mempu­nyai kaedah untuk menentukan tempoh giliran haji dan berapa lama seseorang jemaah haji yang sudah tiba giliran perlu menunggu tawaran.

Katanya, semua keputusan bergantung kepada kebenaran kerajaan Arab Saudi yang amat menitikberatkan soal keselamatan nyawa dengan membuat kawalan sebaiknya berikutan tempoh penularan jangkitan wabak mengambil masa panjang untuk pulih sepenuhnya.

Justeru, beliau berpendapat, jemaah diminta mengambil pe­luang untuk menunaikan umrah terlebih dahulu sekiranya ada peluang kerana pelaksanaannya lebih terbuka dan singkat.

“Kalau mana-mana individu tunggu nak pergi haji, ambillah inisiatif pergi umrah dahulu bila dibuka kalau nak tengok kaabah kerana ia tidak ada tempoh masa terutama dalam kalangan mereka yang uzur memandangkan ibadat haji perlu ditapis betul-betul kesihatan mereka,” katanya.

Beliau pada masa sama memberitahu, berikutan penanggu­han dua tahun musim haji, ba­nyak syarikat pengendali haji dan umrah hilang pendapatan .

Sebagai contoh, syarikat kendaliannya kebiasaan mempero­leh pendapatan sekitar RM40 juta setahun, dan jumlah itu berganda sehingga RM80 juta dalam tempoh dua tahun.

“Nasihat saya kepada jemaah yang terpaksa menunggu lagi untuk menunaikan haji, bersabarlah. Jangan kecewa kerana konsep ibadat haji ini seruan sudah ada sejak zaman Nabi Ibrahim tetapi Allah tidak jemput lagi,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN