IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan bersidang pada 25 Ogos depan selama empat hari.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenankan supaya DUN Perak bersidang pada tarikh tersebut.
Menurutnya, Sultan Nazrin juga berkenan untuk berangkat merasmikan istiadat pembukaan pada hari pertama persidangan itu nanti.
“Berdasarkan perancangan awal, persidangan akan diadakan secara fizikal semua wakil rakyat manakala ketua-ketua jabatan serta pemerhati akan mengikuti sidang DUN secara maya.
“Seperti kelaziman sidang DUN sebelum ini, perjalanan persidangan juga boleh diikuti secara langsung di media sosial termasuk Facebook dan YouTube,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.
Menurut Saarani, memandangkan persidangan dijadual berlangsung dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pelan Pemulihan, satu mesyuarat akan dijalankan bersama pasukan keselamatan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapat nasihat dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Kata beliau, ini termasuk bagi membincangkan ketetapan mengenai jumlah kehadiran dalam dewan, aspek penjarakan fizikal dan kedudukan tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta SOP lain yang berkaitan.
“Saya berharap, sidang DUN kali ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk wakil-wakil rakyat berkongsi pandangan dan buah fikiran terutamanya berkaitan dengan usaha secara kolektif untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE