ALOR GAJAH: Lelaki maut pada hari pertama bekerja sebagai pemandu jengkaut apabila jentera berat yang dibawanya itu terbalik dan menghempapnya dalam kejadian di Kampung Brisu, Masjid Tanah di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, mangsa, Muhamad Sabirin Umar, 29, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, tragedi itu berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja meratakan tanah di kawasan tersebut untuk dijadikan kawasan pertanian.
Katanya, jengkaut yang dikendalikan mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbalik dan menghempapnya.
“Hasil siasatan, mangsa dikatakan baru hari pertama bekerja sebagai pemandu jengkaut selepas hilang pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ketika melakukan kerja-kerja meratakan tanah untuk tujuan pertanian, jengkaut itu tiba-tiba hilang kawalan lalu terbalik dan menghempapnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala selepas tersepit pada bahagian bumbung kenderaan berat itu.
“Mangsa berjaya dikeluarkan daripada bahagian bawah jentera berat itu dengan bantuan pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah pada pukul 4.32 petang.
“Pasukan perubatan Klinik Kesihatan Simpang Ampat bagaimanapun mengesahkan mangsa telah meninggal dunia kerana mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepalanya,” ujarnya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-UTUSAN ONLINE