Covid-19: PH Melaka gesa kerajaan negeri proaktif - Utusan Malaysia

Covid-19: PH Melaka gesa kerajaan negeri proaktif

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka menggesa kerajaan negeri segera mengambil langkah proaktif bagi menjayakan dua matlamat utama iaitu mencapai imuniti kelompok dan kembali berada dalam kategori zon hijau.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, penambahbaikan perlu dibuat dalam menguruskan pengagihan vaksin Covid-19 kepada masyarakat bagi menentukan golongan mana yang perlu diberi keutamaan.

Menurut beliau, golongan yang sering terdedah kerana berurusan dengan masyarakat mempunyai risiko yang lebih tinggi seperti peniaga dan pekerja di pasar, stesen minyak serta sektor ekonomi gig.

“Selain itu, bagi menangani penularan Covid-19 khususnya di sektor perkilangan, kerajaan perlu menjalankan pemantauan terutamanya terhadap kilang-kilang yang beroperasi tanpa kelulusan. Pertingkatkan juga pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan kilang yang dibenarkan beroperasi.

“Manfaatkan juga lebih 10,000 tenaga sumber manusia dalam pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan untuk membantu menjayakan misi melawan Covid-19 sama ada membantu mempromosi untuk mendaftar dan mengambil vaksin mahu pun memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan bersama Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Datuk Halim Bachik.

Kementerian Kesihatan pada Isnin lalu memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught di Melaka adalah yang tertinggi di Malaysia pada 1.10, mengatasi purata kadar kebolehjangkitan peringkat nasional iaitu 1.0.

Kes positif harian Covid-19 di negeri ini bagi tempoh 25 hingga 27 Jun mencatat angka melebihi negeri yang mempunyai populasi tinggi seperti Johor.

Dalam pada itu, mengenai impak sekatan pergerakan penuh, Adly yang juga Pengerusi Amanah negeri berkata, bantuan rakyat perlu dipertingkatkan terutama kepada keluarga yang kehilangan pekerjaan.

Katanya, kerajaan wajar memperkenalkan mekanisme penyampaian bantuan dan sumbangan yang lebih berkesan seperti menyantuni dahulu rakyat yang memerlukan dan bukan sebaliknya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN