Covid-19 Pahang: Empat kluster baharu, dua kematian - Utusan Malaysia

Covid-19 Pahang: Empat kluster baharu, dua kematian

BAHARI CHE AWANG NGAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Empat kluster baharu dikesan di negeri ini hari ini yang mana dua daripadanya melibatkan kluster komuniti dan dua lagi kluster tempat kerja. 

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Bahari Che Awang Ngah berkata kluster tersebut ialah Kluster Industri Benus, Kluster Kampung Lada, Kluster Jalan Jaya Temerloh dan Kluster Sungai Ling.

Menurutnya, kluster tempat kerja adalah Kluster Industri Benus, Bentong yang dikesan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bentong disyaki telah berlakunya penularan wabak dikalangan pekerja

“Seramai 449 individu telah disaring yang merupakan kontak rapat dan 73 kes daripadanya dikesan positif Covid-19.

“Kluster kedua melibatkan tempat kerja, Kluster Jalan Jaya Temerloh, merujuk kepada sebuah pasar raya membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 23 tahun yang bekerja di pasar raya tersebut.

“Hasil saringan kontak rapat dalam kalangan keluarga dan kontak tempat kerja mendapati seramai 12 individu dikesan positif Covid-19. Seramai 111 individu telah disaring dan 16 kes baharu dikesan positif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr. Bahari berkata, bagi dua kluster komuniti iaitu Kluster Kampung Lada di Jerantut dan Kluster Sg Ling, Maran dikesan melibatkan penularan dalam kalangan ahli keluarga sejak 24 Jun lalu.

“Kluster Kampung Lada merujuk kepada lokaliti tempat tinggal kes indeks yang merupakan warga tempatan dan tidak mempunyai sejarah penyakit kronik namun  telah menjalani saringan kerana bergejala ringan.

“Siasatan lanjut mendapati ramai kontak keluarga kes juga bergejala dan mereka telah disaring bersama-sama dan disahkan positif wabak tersebut. Seramai 121 kontak rapat telah disaring dan 26 orang turut disahkan positif.

“Bagi Kluster Sungai Ling dipercayai berlakunya penularan wabak juga melibatkan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan jemaah di masjid. Seramai 37 individu telah disaring dalam kluster ini dan 14 kes dikesan positif Covid-19,” katanya.

Dengan itu, katanya, sebanyak 250 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini sudah mencecah 13,456 kes.

“Berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan. hari ini, sebanyak 181 kes warganegara Malaysia manakala 69 kes merupakan warganegara asing. 

“Sebanyak 239 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan 11 kes import (tujuh dari Negeri Sembilan, tiga dari Kuala Lumpur, satu dari Selangor).

“Terdapat 163 kes diperolehi daripada saringan kluster, 74 saringan kontak rapat, 10 saringan bergejala, satu saringan bersasar dan dua saringan pra prosedur,” katanya.

Sementara itu, katanya, semua daerah mencatatkan pertambahan kes dan tertinggi dicatatkan iaitu Kuantan (90 kes), diikuti Bentong (67 kes), Jerantut (27 kes), Temerloh (21 kes) dan Maran (19 kes).

“Selain itu, Cameron highlands (14 kes), Bera (empat kes), Pekan (empat kes), Lipis (dua kes) dan masing-masing satu kes di Rompin dan Raub.

“Terdapat dua kes kematian baharu dilaporkan di Temerloh dan Jerantut daripada Kluster Rantau Kenangan, menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 128 kes,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN