Berpanas di ladang kelapa demi capaian internet - Utusan Malaysia

Berpanas di ladang kelapa demi capaian internet

MUHAMMAD Adam Firdaus (kiri) dan Nurul Najwa Iman mengikuti kelas dalam talian di ladang kelapa di belakang rumah mereka di Jalan Angkasa, Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini. – UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Hanya semata-mata untuk mendapatkan capaian internet bagi membolehkan menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), dua beradik sanggup berpanas lebih tiga jam di ladang kelapa milik keluarga mereka.

Nurul Najwa Iman, 24, dan adiknya, Muhammad Adam Firdaus, 10, terpaksa pergi ke ladang yang jaraknya 200 meter dari rumah yang terletak di Jalan Angkasa di sini kerana capaian internet di rumah mereka amat lemah.

Menurut Nurul Najwa, dia dan adiknya terpaksa berpanas demi capaian internet dan ber­ada di ladang kelapa itu seawal pukul 8 pagi.

Menurut pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Fakulti Ekonomi Kewangan Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu, bukan itu sahaja, dia juga akan pergi ke rumah neneknya yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya untuk melakukan tugasan diberikan pensyarah.

“Malah, pernah juga pada waktu malam, saya terpaksa pergi ke kedai makan di pekan untuk beberapa jam menum­pang WiFi kedai makan itu.

“Saya telah membuat adu­an mengenai masalah capaian ini kepada syarikat telco yang kami gunakan beberapa kali namun maklum balas yang di­terima amat mengecewakan.

“Mereka mengatakan akan membuat penambahbaikan namun sampai sekarang masalah masih berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin dalam sidang akhbar khasnya memaklumkan ka­edah PdPR akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun mengikut kumpulan negeri masing-masing.

Pembukaan sekolah pada 13 Jun membabitkan negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala pada 14 Jun pula membabitkan negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Sementara itu, Muhammad Adam Firdaus berkata, capaian internet di rumah amat lemah seawal pukul 9 pagi hingga lewat malam.

Katanya, pembelajaran di talian berjalan lancar pada sesi kelas pertama, iaitu pukul 8 pagi, tetapi mula putus-putus sejam kemudian terutama apabila semua rakan-rakan sedang menyertai kelas dalam talian.

“Jadi, saya akan ke ladang kelapa di belakang rumah untuk dapat internet sehingga kelas tamat bersama kakak.

“Namun, jika hujan saya tidak akan masuk kelas kerana ketika ini tiada capaian internet dan terpaksa bertanya de­ngan rakan-rakan tugasan yang diberikan cikgu,” kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Dr. Ismail, Teluk Pulai itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×