Bapa reda tiga anak lemas sekali gus - Utusan Malaysia

Bapa reda tiga anak lemas sekali gus

AMIT Salleh Yusof (kiri) ketika ditemui selepas mayat empat mangsa lemas ditemukan di Pantai Gorongon berhampiran Kampung Contoh, Petagas, Sabah kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU : ‘Ajal maut itu ketentuan Tuhan’. Begitulah luahan bapa kepada tiga anak yang ditemukan mati lemas dalam kejadian yang berlaku di Pantai Gorongon berhampiran Kampung Contoh, Petagas malam semalam.

Biarpun sedih dengan kehilangan tiga anak, Amit Salleh Yusof, 61, tetap reda dengan kejadian malang yang meragut tiga nyawa anaknya itu.

Tiada siapa menyangka, laut yang menjadi tempat mereka sering mandi manda itu meragut nyawa ketiga-tiga mereka sekelip mata.

Amit berkata, dia menerima berita mengejutkan itu selepas selesai menunaikan solat Maghrib di surau setelah isterinya menghubunginya untuk memaklumkan tentang kejadian berkenaan.

Isterinya memberitahu tiga anak bersama ipar mereka lemas selepas mandi di kawasan laut berkenaan dan daripada sembilan yang mandi manda itu, lima berjaya diselamatkan.

“Isteri saya menelefon saya memaklumkan anak saya lemas bersama ipar mereka semasa mandi di kawasan laut bagaimanapun lima daripada mereka terselamat.

“Sebaik sahaja mendapat khabar itu saya bergegas balik dan segera ke kawasan pantai untuk bersama-sama saudara serta pasukan keselamatan yang sedang melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, adik mangsa yang terselamat, Abdul Razak Amit,13, memberitahu ketika sedang mandi manda tiba-tiba mereka dibawa arus ke kawasan yang dalam menyebabkan mereka terpaksa menjerit meminta pertolongan.

Jeritan mereka didengari seorang lelaki yang menaiki perahu yang kebetulan berada di kawasan berhampiran.

Lelaki berkenaan membantu menyelamatkan Abdul Razak bersama empat rakan lain dengan membawa mereka ke kawasan daratan.

“Cubaan lelaki itu mencari dua kakak dan adik serta abang iparnya tidak berjaya. Selepas itu, kami terus memaklumkan ibu mengenai kehilangan keempat-empat mereka.

“Saya sempat melihat abang ipar cuba menyelamatkan dua kakak saya sebelum dia dihanyutkan arus,” katanya.

Kakak Ipar Galang, Norminah, 37, berkata, tidak disangka pertemuan dengan Galang beberapa hari lalu adalah pertemuan terakhirnya bersama mangsa.

Sebelum ini, Galang tinggal di rumah keluarganya di Inanam dan datang ke Petagas kerana ramai saudara mara di situ. Kemudian akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, dia terkandas di Petagas susulan sekatan pergerakan penuh.

Tiga beradik itu dikenali sebagai Korais Amit,8; Noraini Amit,13; Rafidah Amit; dan ipar mereka Galang Naim,17, ditemukan mati lemas kira-kira pukul 8.25 hingga 9.25 malam setelah dilaporkan hilang ketika mandi manda di kawasan laut berkenaan pada 6 petang semalam.

Keempat-empat mangsa mandi manda bersama lima remaja dan kanak kanak lain yang merupakan adik dan rakan-rakan mereka.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN