Bantuan Bakul Makanan: Ahli Parlimen perlu jalan amanah, tanggungjawab - Utusan Malaysia

Bantuan Bakul Makanan: Ahli Parlimen perlu jalan amanah, tanggungjawab

EDDIN Syazlee Shith (tengah) membantu menaikkan sejumlah kotak makanan daripada Bersatu Negeri Sembilan pada majlis pelepasan Jelajah Prihatin Bersatu Negeri Sembilan di Pejabat Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Setiap ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab memastikan peruntukan sebanyak RM300,000 sebagai tambahan kepada program Bantuan Bakul Makanan sedia ada di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sampai kepada golongan rakyat memerlukannya.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, peruntukan telah disediakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), kini menjadi amanah kepada setiap ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang untuk melaksanakannya.

“RM300,000 untuk bakul makanan, itu bukan jumlah yang kecil, saya tahu, ia boleh diturunkan untuk membantu lebih banyak rakyat. 

“Ia juga sebagai galakan kepada ahli Parlimen dan wakil rakyat untuk lebih aktif turun padang, supaya rakyat menerima faedah ini kerana polisinya sudah jelas, tinggal pelaksanannya sahaja. Ahli Parlimen mesti gunakan peruntukan ini untuk bantu rakyat, jalankan amanah itu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelepasan Jelajah Prihatin Bersatu Negeri Sembilan di Pejabat Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk ahli Parlimen pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, Eddin Syazlee menambah, peruntukan disediakan itu boleh disifatkan sebagai kemuncak kepada banyak bantuan lain yang telah diberikan kerajaan bagi rakyat menghadapi kesan ekoran penularan pandemik Covid-19 sebelum ini.

“Pemulih boleh disifatkan sebagai kemuncak kepada usaha-usaha telah dibuat sebelum ini, bantuan dan peruntukan sebelum ini juga diperuntukkan kepada negeri-negeri pembangkang, kebajikan tidak kira diperintah oleh parti apa yang menjadi keutamaan adalah rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, menurut beliau, Bersatu Negeri Sembilan juga mengambil inisiatif dengan turut mengedarkan kotak makanan bagi membantu golongan terjejas akibat Covid-19 di seluruh negeri ini.

“Hari ini kami menghantar kira-kira 1,120 kotak makanan dengan peruntukan sebanyak RM60,000 untuk diedarkan di semua daerah. Ini antara usaha yang kami buat, sebelum ini kami melaksanakannya mengikut bahagian tetapi kali kami selaraskan dan ini merupakan permulaan kepada lebih banyak lagi bantuan kotak makanan yang akan diberikan kelak,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN