Bantu atasi Covid-19, bukan tuding jari - Permaisuri Johor - Utusan Malaysia

Bantu atasi Covid-19, bukan tuding jari – Permaisuri Johor

RAJA Zarith Sofiah Sultan Idris Shah (kanan) ketika melawat keluarga terjejas akibat pandemik Covid-19 di Mukim Endau, Mersing di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyeru mereka yang berkemampuan untuk membantu hospital-hospital atau golongan miskin yang ditimpa kesusahan dalam apa jua bentuk yang boleh ketika berdepan pandemik Covid-19. 

Raja Zarith Sofiah berkata, pandemik ini telah menampakkan jurang perbezaan antara mereka yang hidup senang dengan mereka yang kurang bernasib baik. 

Titah Baginda, ia juga menampakkan jurang antara mereka yang sanggup dan sudi membantu secara sukarela dengan mereka yang selesa di belakang papan kekunci masing-masing mencari kesalahan yang tidak berkesudahan.

“Mencari kesalahan semata-mata tidak akan mengurangkan bilangan pesakit atau tekanan dihadapi keluarga yang terpaksa bersempit dalam rumah flat satu bilik mahupun mereka yang kehilangan pendapatan dan buntu bagaimana mencari nafkah untuk keluarga.

“Pihak hospital merupakan entiti yang paling terkesan. Lihatlah saja kontena-kontena yang terpaksa diubah suai menjadi bilik mayat serta cabaran lain yang kita lihat sepanjang tahun lalu. 

“Apa salahnya kita tunjukkan, walaupun sedikit, penghargaan atas segala pengorbanan mereka dalam merawat ataupun menyelamatkan pesakit dari ambang kematian,” titah Baginda di sini, hari ini.

Raja Zarith Sofiah bertitah, keluarga Diraja Johor akan meneruskan bantuan yang telah dilaksanakan sekian lama kepada golongan susah, kehilangan pekerjaan, atau bergaji kecil.

Titah Permaisuri Johor, inilah masanya semua ahli masyarakat bersama-sama mengambil tindakan dan membantu berbanding terus menuding jari mencari kesalahan pihak berkuasa semata-mata. 

“Walaupun rakyat Malaysia berhak untuk mengkritik dan mempersoalkan tindak-tanduk keputusan yang diambil kerajaan, kita juga wajar bermuhasabah tentang kemampuan kita sendiri.

“Kita mesti menerima hakikat bahawa peningkatan mendadak kes Covid-19 mempunyai asasnya dalam keengganan lapisan masyarakat kita untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Marilah kita membantu antara satu sama lain, terutamanya petugas barisan hadapan dan mereka yang dalam kesusahan,” titah Baginda.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN