Armada dakwa Pemuda UMNO jadi lidah DAP, pembangkang - Utusan Malaysia

Armada dakwa Pemuda UMNO jadi lidah DAP, pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Pemuda UMNO sudah menjadi lidah rasmi DAP dan komponen pembangkang.

Dalam satu kenyataan, Exco Armada Nasional, Muhammad Saiful Bahari berkata Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki bertindak seperti pembangkang apabila mempersoal tindakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang masih membenarkan beberapa kilang beroperasi.

“Asyraf Wajdi yang menuntut Menteri MITI, Datuk Seri Azmin Ali untuk menjelaskan secara langsung mengenai kebenaran operasi dan penutupan kilang setelah sekatan pergerakan penuh (total lockdown) dilaksanakan memperlihatkan kerendahan akalnya.

“Beliau mengatakan beliau tidak faham berhubung rasional kilang-kilang yang dibenarkan beroperasi, mentaliti beliau ini tidak ubah seperti pembangkang,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengumumkan mengenai senarai sektor yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 untuk tempoh 1 hingga 14 Jun ini.

Kementerian Kewangan telah menjelaskan pembukaan berterusan sektor-sektor tersebut sangat penting untuk mencegah kegagalan rantaian bekalan produk dan perkhidmatan yang perlu bagi menjaga kesejahteraan rakyat.

Muhammad Saiful kemudian menjelaskan pembukaan sektor ekonomi adalah salah satu cara untuk memastikan kelangsungan pendapatan untuk rakyat.

“Kerajaan memberikan kelulusan berdasarkan ‘rantaian ekonomi’ bagi memastikan sesuatu produktiviti itu dapat terhasil dengan sempurna

“Penghasilan makanan seperti roti juga menuntut supaya sektor pembungkusan dan pengangkutan dibuka supaya dapat sampai kepada pembeli dengan sempurna. Usaha ini juga adalah sebahagian daripada ikhtiar untuk menjamin kelangsungan pendapatan dan pekerjaan rakyat,” katanya.

Muhammad Saiful mencadangkan supaya rakyat Malaysia menyusun dan meneliti semula kenyataan-kenyataan Asyraf

“Rakyat harus melihat betapa bodoh dan dangkalnya akal Asyraf yang hanya menjadi lidah rasmi DAP dan pembangkang.

“Menjelang Aidilfitri yang lalu, beliau sendiri mendesak kerajaan untuk buka sempadan untuk rakyat balik beraya, tatkala kes meningkat. Kini, beliau juga menjadi jaguh untuk total lockdown pula,” ujarnya.  – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya