Amaran kilang buang sisa toksik ke Sungai Pahang - Utusan Malaysia

Amaran kilang buang sisa toksik ke Sungai Pahang

MOHD. Sharkar Shamsudin (tengah) dan Mohd. Sani Mat Daud (kiri) menguji kualiti air Sungai Pahang di atas sangkar Mohd. Zahir Ibrahim di Kampung Pengkalan Manggis di Temerloh, Pahang UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kerajaan negeri tiada kompromi dan bertindak tegas terhadap mana-mana pengusaha kilang yang membuang sisa toksik ke Sungai Pahang atau alur air yang boleh mengancam hidupan air.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, mereka berdepan dengan tindakan undang-undang berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang membuat pemantauan berkala terhadap aktiviti kilang termasuk di Temerloh bagi mengelakkan aktiviti membuang sisa toksik secara sengaja atau tidak sengajakan.

“Insiden berkaitan pelepasan air berwarna hitam melalui paip bawah tanah dari kilang kertas Asian Honor Paper Industries Sdn. Berhad pada 9 Jun lalu ke Sungai Pahang telah mendapat tindak balas kerajaan negeri dan JAS.

“Kesan perbuatan itu, seorang penternak ikan sangkar di Pengkalan Manggis kira-kira 11 kilometer dari kilang berkenaan kerugian apabila anak ikan patin mati,” katanya kepada pemberita ketika melawat sangkar ikan terlibat di Pengkalan Manggis di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin dan Pengarah JAS Pahang, Mohd. Sani Mat Daud.

Mohd. Sharkar berkata, pihak kilang berkenaan mengaku ada membuat pelepasan sisanya pada 9 Jun lalu secara tidak sengaja.

Tambah beliau, kilang terbabit tidak beroperasi atas arahan Kementerian Kesihatan bermula 2 Jun hingga 14 Jun ini disebabkan kluster Covid-19 pekerja kilang. 

Menurutnya, penyiasat JAS mendapati keadaan air kelihatan normal dan tiada air berwarna hitam tetapi ada sedikit kesan hitam di tebing sungai.

Sementara itu, Mohd. Sani berkata, peralatan yang menyebabkan pelepasan telah disita dan tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh 14 hari atau melepas sebarang efluen ke alur air atau sungai.

“Tindakan perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan diambil ke atas pihak kilang. Jika disabitkan boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

“Mereka juga boleh dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM2,000 terhadap kecuaian atau kesalahan dilakukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya