Ahli PNBBC sumbang 30 peratus gaji perangi Covid-19 - Utusan Malaysia

Ahli PNBBC sumbang 30 peratus gaji perangi Covid-19

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Susulan pandemik Covid-19 yang berterusan sehingga kini, Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) bersetuju menyumbang 30 peratus gaji bulanan untuk tempoh tiga bulan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda kebersamaan dalam menyokong usaha kerajaan memerangi wabak tersebut yang semakin hari menyumbang kepada kadar kematian yang meningkat.

“Menjadi harapan kami agar sumbangan yang sedikit ini dapat membantu dan meringankan bebanan kewangan mereka yang memerlukan dan meneruskan usaha-usaha untuk menentang Covid-19. Perkhidmatan kami kepada rakyat berterusan di Parlimen dan negara.

“Sehubungan dengan itu, atas rasa insaf, keprihatinan dan tanda sokongan kami bagi membantu semua golongan rakyat, Ahli-Ahli Parlimen PNBBC bersetuju untuk menyumbangkan sejumlah 30 peratus daripada gaji bulanan untuk tempoh tiga (3) bulan kepada Akaun Amanah Bencana Negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan barisan jemaah Menteri dan Timbalan Menteri bersetuju untuk tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun ini.

“Gaji yang tidak diambil ini akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negara sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19,” katanya sebelum ini.

Jelas Shahidan lagi, pihaknya menyambut baik inisiatif tersebut dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

“Kami menyambut baik inisiatif Menteri dan Timbalan Menteri yang memotong tiga bulan gaji yang akan disalurkan di dalam Akaun Amanah Bencana bagi membiayai usaha memerangi Covid-19.

“Kami juga menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada penjawat awam yang selama ini menjadi tulang belakang kerajaan yang turut bersedia memotong gaji mereka bagi tujuan yang sama,” ujarnya lagi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN