Ahli Parlimen UMNO berpecah? - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen UMNO berpecah?

MOHAMED NAZRI ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 membuat pendirian tidak be­kerjasama dengan PKR dan DAP, Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terus diasak dengan pelbagai kontroversi membabitkan dakwaan soko­ngan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi calon Perdana Menteri.

Susulan kepada kemelut itu ialah kemarahan beberapa ahli Parlimen UMNO yang membawa kepada perpecahan dalam kala­ngan pemimpin dan wujud dua Akuan Bersumpah (SD).

Satu SD menyokong Anwar bagi mengisi jawatan nombor satu kerajaan, sementara satu lagi SD dipercayai disokong sebahagian ahli Parlimen untuk menjadikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai jurucakap parti.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, gerakan menjadikan Hishammuddin sebagai jurucakap parti bukan kerana berdendam kepada Ahmad Zahid, tetapi kerana tidak percaya kepadanya selepas beliau didakwa berbohong dalam isu menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN).

“Yang mendorong saya untuk membuat SD ini sebab saya dengar Agong bertitah nak panggil ketua parti. Saya kata tak boleh, kalau ketua parti bermakna Zahid. Saya tak percaya dengan dia. Dulu dah terkena pada bulan Oktober, dia kata kita semua sokong Anwar, kemudian audio dia dengan Anwar tersebar.

“Kalau Tuanku Agong panggil menghadap, dia akan cakap kita semua sokong, itulah menyebabkan saya buat SD, kita bagi mandat dan kepercayaan kepada Hishammuddin untuk berurusan dengan sesiapa dalam mengambil keputusan bagi kepentingan parti, “ ujarnya ketika ditemui di ibu negara semalam.

Mohamed Nazri mendakwa, disebabkan beliau menjadi mangsa kepada setiap perancangan Ahmad Zahid, beliau tidak menerima peruntukan kerajaan yang diberi kepada setiap ahli Parlimen PN.

“Saya dah kena tipu. Beliau yang merancang untuk seorang demi seorang ahli Parlimen UMNO keluar daripada PN, bermakna apabila satu persatu ahli Parlimen keluar, kerajaan akan tumbang. Tapi dari hari ke hari, saya tengok benda tu tak berlaku. Dia (Zahid) suruh saya, tapi dia sendiri tak buat.

“Kesan daripada itu, saya tidak dapat peruntukan untuk kawasan kerana saya menarik sokongan daripada PN, saya terima itu sebagai satu hukuman. Tapi saya marah sebab Zahid ambil peruntukan itu.

“Saya dengan Jazlan (Datuk Ahmad Jazlan Yaakub) tak diberi sebab kami dah tandatangan keluar daripada PN, tapi Zahid ambil, bermakna dia tidak bertanggungjawab.

“Dia (Zahid) bukan bodoh, saya dah tandatangan, tapi dia boleh terima duit untuk kawasan dia. Ini pemimpin apa? Dia buat tak tahu sahaja, ibarat saya ni luncai,” ujarnya.

Sementara itu, sumber memaklumkan kepada Utusan Malaysia, terdapat menteri dan timbalan menteri daripada UMNO yang menyokong SD yang digerakkan Mohamed Nazri berikutan ketidakpercayaan terhadap Ahmad Zahid.

Berikutan itu, jelas Mohamed Nazri, hanya pemilihan parti dapat merungkai masalah kepimpinan tertinggi parti itu.

“Kalau betul dia seorang demokrat, seorang yang berani, tempoh dah habis dan dia selalu cakap dalam Perhubungan UMNO, ‘saya bukan datang nak bertanding, tetapi nak mempertahankan jawatan saya’, Okay, buatlah, buat apa nak tunggu lagi,” katanya.

Tambah beliau, gesaan itu harus selari dengan desakan Ahmad Zahid yang meminta sidang Parlimen dipercepatkan.

Mohamed Nazri berkata, memandangkan pilihan raya umum masih jauh iaitu 2023, adalah lebih baik UMNO menyelesaikan dahulu pemilihan parti secepat mungkin.

Katanya, walaupun Perlembagaan UMNO membenarkan pemilihan parti ditunda sehingga 18 bulan tetapi situasi sekarang tidak memerlukan sebarang penundaan.

Terdahulu, Pengerusi Ahli Majlis Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim mendedahkan usaha menyokong Presiden PKR masih diteruskan sehingga 7 Jun lalu dan ia dijalankan oleh Ahmad Zahid sendiri. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×