31 pekerja syarikat industri dikompaun gagal patuh SOP - Utusan Malaysia

31 pekerja syarikat industri dikompaun gagal patuh SOP

PEKERJA syarikat perindustrian dikompaun kerana melanggar SOP PKP di Kampung Acheh di Lumut hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seramai 31 pekerja dan dua pengusaha kantin dari dua syarikat perindustrian di Kampung Acheh dekat sini, hari ini dikompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semua 31 pekerja itu masing-masing dikompaun RM1,500 dengan jumlah keseluruhan RM46,500 kerana tidak mengemas kini status kesihatan mereka dalam portal MySejahtera ketika memasuki tempat kerja.

Dua pengusaha kantin itu pula masing-masing dikompuan RM10,000 kerana tidak melaksanakan SOP penjarakkan fizikal di premis mereka.

Kompaun itu dikeluarkan dalam operasi bersepadu pematuhan SOP PKP disertai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Kesihatan Daerah, Majlis Perbandaran Manjung, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta agensi lain tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, seramai 18 pegawai dan anggota semua agensi terlibat dalam operasi hampir dua jam itu.

“Dalam operasi ini, kami melakukan pemeriksaan di dua syarikat perindustrian iaitu sebuah syarikat berkaitan minyak dan gas manakala sebuah lagi syarikat pemprosesan makanan,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut di sini, hari ini.

Menurut Nor Omar, majikan harus memastikan pekerja mengemas kini status kesihatan masing-masing setiap kali bekerja bagi memastikan hanya individu yang sihat serta tanpa gejala sahaja dibenarkan berada dalam premis pekerjaan.

Jelasnya, syarikat yang memiliki bilangan pekerja ramai perlu mewujudkan satu pasukan atau badan bertanggungjawab memantau tahap kesihatan serta pematuhan SOP di tempat kerja, bagi mengelakkan sebarang punca jangkitan Covid-19 di premis masing-masing.

Tegasnya, peraturan itu turut terpakai kepada orang ramai yang mana mereka perlu mengemas kini status kesihatan mereka setiap kali keluar rumah untuk ke premis perniagaan.

Sementara itu, mengenai penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Batu 9 Lekir bermula tengah malam ini sehingga 19 Jun depan,  beliau menegaskan satu sekatan jalan raya (SJR) akan dibuka manakala tiga jalan ditutup di lokasi tersebut.

Nor Omar berkata, pihaknya sudah meminta bantuan anggota tambahan di kalangan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Sularelawan Malaysia (Rela) untuk bertugas di PKPD tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN