fbpx

25 Jun 2021, 3:37 pm

  TERKINI

3 taman perumahan di Temerloh antara kena PKPD; 907 ditahan ingkar SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah tiga taman perumahan di Daerah Temerloh, Pahang antara tujuh lokaliti bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Sabtu hingga 25 Jun ini iaitu Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah dan Taman Temerloh Makmur.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara keseluruhan 38 kes hasil daripada sejumlah 407 ujian saringan dilakukan di tiga lokaliti ini.

“Turut dikenakan PKPD pada tarikh sama ialah Ladang Tereh Mill, Daerah Kluang, Johor dan Kampung Tajin, Kuala Berang, Daerah Hulu Terengganu, Terengganu, manakala di Sabah melibatkan Lorong Pasir Putih 1, Taman Pasir Putih Fasa 1, Daerah Putatan dan Kampung Kolong 2, Bahagian Kuching, Sarawak.

“Lima lokaliti ditamatkan PKPD secara serentak esok dengan tiga daripadanya terletak di sekitar Sabah antaranya ialah Kampung Sungai Langgas, Daerah Kunak, Bahagian Tawau yang sepatutnya berakhir pada Ahad ini, namun telah pun diawalkan daripada jadualnya itu,” kata beliau.

Baki dua lagi lokaliti di negeri itu ditamatkan seperti dijadualkan iaitu Kampung Mook, Kinarut, Papar, Bahagian Pantai Barat dan Kampung Baru Durok, Keningau, Bahagian Pedalaman serta Mukim Kuala Berang, Daerah Hulu Terengganu, Terengganu dan Mukim Sitiawan, Daerah Manjung, Perak.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam merekodkan 907 individu diberkas semalam dengan seramai 877 dikompaun, 28 direman dan dua lagi dijamin hasil pemantauan melibatkan 102,633 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan.

 “Kesalahan tertinggi kali ini sebab tidak memakai pelitup muka sebanyak 208 kes diikuti gagal merekod butiran di premis sebanyak 148 kes disusuli rentas kawasan / makan di premis (147), tiada jarak fizikal (123), gagal mematuhi PKP (81), membawa penumpang berlebihan (79), aktiviti pusat hiburan (28) dan lain-lain (93),” katanya.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 548 individu telah tiba di tanah air semalam dengan kesemua dikuarantin bersama 9,015 individu masih lagi berada di pusat kuarantin di seluruh negara, selain 2,598 individu dibawa ke hospital, manakala 211,721 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 580 peruncit, 160 pemborong dan 31 pengilang termasuk 1,817 pemeriksaan khas pematuhan SOP turut dilakukan dengan hanya sebanyak 10 premis yang terlibat dikenakan kompaun.

Beliau juga mengesahkan, tiada pekerja asing yang didapati positif Covid-19 daripada 119 daripada mereka  melalui ujian saringan wajib kelolaan Kementerian Sumber Manusia di seluruh negara semalam.- UTUSAN ONLINE