KOTA BHARU: Seramai 204 pelajar perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, di sini hari ini.
Kumpulan pelajar terbabit diberi keutamaan sebagai penerima vaksin Covid-19 kerana mereka sebahagian daripada petugas barisan hadapan yang berkhidmat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Pengarah HUSM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, pemberian vaksin secara pandu lalu tersebut turut dilakukan kepada 84 warga emas yang dijadual menerima suntikan vaksin dos kedua.
“Sehingga hari ini, seramai 2,067 individu telah divaksin di PPV Kampus Kesihatan USM ini termasuk kakitangan HUSM sendiri.
“Terima kasih kepada Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin serta seluruh warga Jabatan Kesihatan negeri yang membantu melancarkan urusan ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi PPV Kampus Kesihatan USM hari ini.
Sementara itu, pelajar perubatan USM, Annabelle Shin Mei Kong, 24, berkata, dia teruja menjadi sebahagian daripada kumpulan pelajar pertama yang menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini.
“Saya sudah mendaftar menerusi Aplikasi MySejahtera pada Mac lalu dan akhirnya dipanggil hari ini. Saya berasa lega selepas menerima vaksin ini memandangkan setiap hari kami terdedah dengan virus ini ketika bertugas di lapangan,” katanya. -UTUSAN ONLINE