133,000 terima vaksin di Johor bermula Isnin - Utusan Malaysia

133,000 terima vaksin di Johor bermula Isnin

PARA petugas dari Hospital Penawar membuat persiapan sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa dua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dianggarkan seramai 133,000 penerima yang terdiri daripada warga emas akan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mendapatkan dos suntikan vaksin AstraZeneca dalam Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di seluruh negeri ini, bermula Isnin ini.

Bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran dan penerimaan vaksin, penerima dan ahli keluarga yang membawa warga emas dinasihatkan untuk tidak datang terlalu awal ke PPV berkenaan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Bahagian Pengurusan, Datuk Mohd. Noh Ibrahim berkata, tindakan tersebut hanya akan menyebabkan berlaku kesesakan trafik menuju ke pusat tersebut.

Katanya, penerima vaksin dinasihatkan hadir ke PPV mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan bagi memudahkan semua pihak bagi proses pendaftaran dan pemberian vaksin.

“Bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memandu arah penerima ke lokasi yang dituju. Sebahagian jalan di sekitar PPV di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini akan ditutup.

“Kita juga menyediakan tempat meletakkan kenderaan bersebelahan Persada serta kawasan berhampiran dan seperti tempat lain, kita benarkan seorang sahaja menemani warga emas ke PPV kerana kita juga ada menugaskan sukarelawan untuk membantu mereka dari semasa ke semasa,” katanya selepas meninjau PPV Persada, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Aman Rabu.

Antara jalan di sekitar PPV di Persada yang akan ditutup melibatkan Jalan Trus; Jalan Salim; Jalan Khalid Abdullah; Jalan Datuk Dalam; Jalan Ayer Molek dan Jalan Khalid Abdullah.

Orang ramai dinasihatkan menggunakan jalan alternatif bagi mengelak kesesakan lalulintas.

Sementara itu, Mohd. Noh berkata, dianggarkan seramai 210 petugas terdiri daripada anggota keselamatan termasuk 119 kakitangan Kementerian Kesihatan akan ditugaskan bagi memastikan program pemberian vaksin berjalan lancar.

Katanya, petugas di PPV juga akan dibantu seramai 460 sukarelawan sepanjang PICK di PPV Persada Johor berlangsung.

Terdapat pelbagai kemudahan disediakan di PPV itu bagi mewujudkan keadaan yang lebih kondusif dan selesa antaranya khemah drop-off serta penggunaan kerusi roda bagi yang memerlukan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN