1,098 calon MRSM dapat semua A SPM 2020 - Utusan Malaysia

1,098 calon MRSM dapat semua A SPM 2020

ABD. LATIFF AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 1,098 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mendapat semua A (A+, A dan A-) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Abd. Latiff Ahmad berkata, pencapaian SPM 2020 menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan bilangan calon yang mendapat semua A bertambah jika dibandingkan 761 orang pada tahun 2019.

“Pada tahun ini, MRSM mencatat kejayaan dengan mencapai 100 peratus gred lulus dalam semua mata pelajaran.

“Bilangan calon yang memperoleh semua A+ adalah seramai 22 orang,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Abd. Latiff berkata, SPM 2020 bagi MRSM mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.359 yang menunjukkan peningkatan prestasi berbanding SPM 2019 (2.538) dan SPM 2018 (2.458).

Katanya, lapan buah MRSM menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan (GPM) kurang daripada 2.0.

“MRSM berkenaan ialah MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Langkawi, MRSM Taiping, MRSM Alor Gajah, MRSM Kuala Kubu Bharu, MRSM Johor Bahru, MRSM Kuantan dan MRSM Pengkalan Hulu,” katanya.

Tambahnya lagi, subjek teras dalam SPM 2020 iaitu Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Matematik menunjukkan peningkatan Gred Purata Subjek (GPS) berbanding SPM 2019.

Katanya, di samping itu, pencapaian subjek STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) dalam SPM 2020 juga menunjukkan peningkatan GPS bagi subjek Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Lukisan Kejuruteraan, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik dan Reka Cipta.

“Begitu juga subjek elektif lain seperti Prinsip Perakaunan, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah serta Ekonomi yang menunjukkan peningkatan dari segi GPS.

“Komitmen pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan MRSM serta semua warga guru memainkan peranan besar dalam kejayaan SPM 2020.

“Sinergi semua pihak dalam memastikan segala program yang disusun berjalan lancar walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19,” tegasnya.

Beliau berkata, Mara akan terus komited untuk meningkatkan prestasi akademik calon- calon SPM tahun 2021.

“Antara inisiatif yang telah diambil ialah menetapkan pakej mata pelajaran dengan memberi fokus kepada bilangan maksimum subjek yang diambil serta menyusun semula peruntukan sela masa bagi subjek-subjek STEM,” jelasnya.

Seramai 8,095 calon dari 53 buah MRSM di seluruh Malaysia telah menduduki peperiksaan SPM 2020. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN