MELAKA: Kerajaan akan menyiasat punca kegagalan hampir 10,000 penduduk di Kelantan hadir bagi janji temu suntikan vaksin Covid-19, sama ada golongan itu menolak pelaksanaan vaksin atau disebabkan faktor lain.
Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pihaknya dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengumpulkan maklumat berkenaan insiden tersebut terutama melibatkan penduduk di kawasan pedalaman.
“Kita kena semak mengapa mereka ini tidak hadir, sebahagiannya mungkin menghadapi kesuntukan masa atau tidak sihat serta banyak banyak lagi faktor.
“Siasatan akan dilakukan, terutama mereka yang tinggal di kawasan kampung, adakah mereka menolak untuk menerima vaksin atau melibatkan faktor kelemahan advokasi mengenai kepentingan suntikan imunisasi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja ke Rumah Seri Kenangan Cheng di sini hari ini.
Mengulas dakwaan mengenai golongan warga emas di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diabaikan, beliau menjelaskan, perkara itu tidak benar apabila sekurang-kurangnya seramai 652 penghuni telah menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan.
“Secara keseluruhannya, sehingga kini seramai 1.86 juta atau 53.1 peratus daripada 3.5 juta warga emas telah mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 693,065 daripada mereka telah menerima dos pertama vaksin Covid-19, termasuklah mereka yang berada di rumah kebajikan di bawah JKM,” jelasnya.
Tambahnya, dalam pada itu, sejumlah 180,933 pula telah selesai melengkapkan kedua-dua dos dengan 512,132 sedang menunggu giliran untuk dos kedua.
“Apa yang penting ketika ini adalah kita bersama-sama membimbing golongan warga emas untuk menerima vaksin, kurangkan rasa gentar mereka dan terangkan menggunakan fakta yang betul.
“Kementerian juga telah menggerakkan Lembaga Kaunselor Malaysia untuk membantu program-program advokasi ini,” katanya.









