Ustaz lega motosikal 'cari makan' hilang ditemukan - Utusan Malaysia

Ustaz lega motosikal ‘cari makan’ hilang ditemukan

MUHAMMAD Yasir Mohd. Said bersama motosikalnya yang berjaya ditemukan semula selepas 30 minit memuat naik status berkenaan kehilangan kenderaan itu di Felda Pasak, Kota Tinggi, Johor. - UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang tenaga pengajar di sebuah sekolah agama di sini bersyukur selepas motosikal berusia 15 tahun yang digunakan untuk mencari rezeki dan hilang sejak malam tadi, berjaya ditemukan semula.

Muhammad Yasir Mohd. Said, 24, berkata, motosikal jenis Honda EX5 yang diparkir di rumahnya di Felda Pasak ditemukan kembali selepas berita kehilangan motosikalnya itu dimuat naik di Facebook.

Katanya, kira-kira 30 minit selepas tular status kehilangan motosikal itu, terdapat orang awam menghubunginya yang memaklumkan kenderaan miliknya ditemukan di dalam kawasan kampung tersebut.

“Itu sahaja satu-satunya kenderaan saya untuk mencari makan buat keluarga kecil kami. Alhamdulillah ia berjaya dijumpai di hentian bas di Felda Pasak ini. Dalam box (kotak simpanan) belakang motosikal terdapat buku persediaan mengajar dan kertas-kertas borang selain baju hujan yang sering saya gunakan untuk ke sekolah.

“Di rumah memang terdapat sebuah kereta tetapi ia digunakan isteri untuk ke tempat kerja. Jadi motosikal ini sahaja yang menjadi tunggangan saya mencari nafkah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Muhammad Yasir berkata, motosikal itu adalah peninggalan arwah neneknya di mana ibunya meminta agar dia menggunakan dan menjaga dengan baik motosikal itu.

“Sejak 2016 saya gunakan motosikal ini. Sebelum ini saya berkhidmat di Sekolah Agama Bandar Permas Jaya selepas berkahwin pada tahun 2018, setahun setengah saya ulang-alik dari Kota Tinggi ke Plentong.

“Awal tahun ini saya yang bekerja sebagai guru kontrak baru dapat berpindah ke Sekolah Agama Felda Air Tawar 4 yang lebih dekat dengan rumah.

“Saya memang agak terkejut bila dapati motosikal hilang. Bahkan pagi ini saya memang merancang untuk membuat laporan polis. Tetapi semasa sedang bersiap-siap kira-kira 30 minit selepas saya muat naik status motosikal hilang, ada orang hubungi saya memaklumkan nampak motosikal saya itu,” katanya.

Katanya, dia bersama isteri kemudian terus bergegas ke lokasi motosikalnya ditemukan dan mendapati kenderaan itu dalam keadaan baik, namun mengalami sedikit kerosakan di bahagian ‘cover set’.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua ahli keluarga, jiran tetangga, rakan-rakan dan orang ramai yang sudi bantu tularkan hantaran tersebut.

“Dengan izin Allah, motosikal tersebut dapat dijumpai. Pesanan untuk diri saya juga agar jangan sombong diri dengan orang sekeliling apatah lagi bersangka buruk, kelak suatu hari merekalah yang menjadi penyelamat kita, kurangkan kecaman, banyakkan amalan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN