KUANTAN: Seorang jurujual di sini kerugian RM15,900 akibat diperdaya individu yang menawarkan pelaburan tidak wujud ketika kejadian antara Mac lalu hingga semalam.
Wanita berusia 21 tahun itu mula mengenali suspek ketika melayari laman sosial Facebook pada 25 Mac lalu selepas tertarik iklan pelaburan mata wang asing.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa lantas menghubungi suspek untuk membuat pelaburan RM600.
Menurutnya, mangsa yang dijanjikan keuntungan RM15,000 itu telah melakukan transaksi pindahan wang sebagai modal pelaburan ke dalam akaun milik seorang lelaki pada 31 Mac lalu.
“Selepas memasukkan wang, pihak syarikat pelaburan tersebut menyuruh mangsa tunggu selama 14 jam untuk mendapatkan keuntungan yang dijanjikan.
“Pada 1 April lalu, mangsa telah membuka laman web yang diberikan dan mendapati wang keuntungan pengadu telah masuk sebanyak RM15,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, mangsa diberikan syarat melakukan beberapa bayaran ke atas caj-caj berbeza sebelum boleh mengeluarkan keuntungan tersebut.
“Semasa berada di rumahnya, mangsa memindahkan lebih RM15,300 secara berperingkat bermula 7 hingga 31 April ke dalam empat akaun berlainan.
“Selepas memasukkan wang, mesej yang pengadu hantar tidak lagi dibalas oleh suspek. Mangsa yang berasa tertipu itu tampil membuat laporan polis,” katanya.
Kes dilaporkan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.










