Tujuh kedai musnah dalam kebakaran - Utusan Malaysia

Tujuh kedai musnah dalam kebakaran

KEADAAN kedai yang terbakar dalam kejadian di Jalan Lee Ling Hin di Menglembu, Ipoh. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tujuh kedai musnah dalam kebakaran di Jalan Lee Ling Hin di Menglembu di sini malam tadi.

Kejadian pada pukul 10 malam itu bagaimanapun tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Mohamad Fadzeli Che Husin berkata, kebakaran melibatkan lima kedai gunting rambut, sebuah kedai jahitan dan sebuah premis kosong.

Katanya, ketika pihaknya sampai di lokasi kejadian, api sedang marak membakar kedai ke empat iaitu kedai kosong.

“Terdapat 11 kedai sederet di kawasan itu namun yang terbabit dalam kebakaran hanya tujuh kedai di mana anggaran kebakaran lebih 50 peratus.

“Anggota segera memadamkan kebakaran dengan bersumberkan air dari pili bomba bagi mengelakkan ia merebak ke kedai lain,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kebakaran merebak dengan cepat ekoran struktur di bahagian atas iaitu bumbung dibina daripada kayu yang bersambung antara setiap kedai.

Katanya, operasi memadam kebakaran juga menghadapi kesukaran kerana sumber air dari pili bomba kurang pada peringkat awal.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan kerugian yang dialami pemilik premis. Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini,” katanya.

Tambahnya, operasi disertai 18 anggota bomba dari BBP Pasir Puteh, BBP Ipoh dan BBP Simpang Pulai dengan dibantu 15 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru, PBS Menglembu dan PBS Pasir Pinji.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN