Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan ditunda - Utusan Malaysia

Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan ditunda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1442H/ 2021M ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak dalam tahun ini juga.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, penangguhan ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara serentak di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun ini.

Acara tahunan berkenaan ujar beliau, sepatutnya dijadualkan dari 13 Jun hingga 18 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur melibatkan penyertaan qari dan qariah seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk majlis itu jelas beliau, turut bersetuju dengan penangguhan acara tersebut.

Keputusan ini, kata Abdul Aziz adalah wajar dengan mengambil kira situasi wabak Covid-19 di samping kekangan masa dan keterbatasan pergerakan oleh pelbagai jawatankuasa majlis itu.

“Bagi pihak Jawatankuasa Induk, Jakim ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen pihak negeri-negeri yang sudah membuat persiapan rapi kali ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada tahun lalu, majlis tersebut berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu selama enam hari yang bermula 16 Februari dan melibatkan sejumlah 108 peserta.

Qari Kelantan yang cacat penglihatan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dan qariah Perak, Puteri Kalimatul Azzua Hamid telah dinobatkan johan tilawah dalam kategori masing-masing.-UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya