SUNGAI PETANI: Tiga pemilik premis perniagaan dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tiga premis tersebut terletak di sebuah pasar raya dan kedai emas di Jalan Ibrahim, di sini.
Menurutnya, pemilik premis terbabit antaranya didapati gagal menyatakan jumlah pelanggan dibenarkan memasuki premis pada satu masa.
“Kesalahan itu dikesan oleh polis ketika melakukan pemantauan dan penguatkuasaan SOP PKP 3.0 di premis perniagaan tersebut.
“Pemantauan dan penguatkuasaan SOP PKP itu turut disertai Pengarah Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Kedah, Mohd. Zawawi Zakaria,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, beliau menambah, seorang pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza pula dikenakan kompaun RM2,000 kerana membawa penumpang melebihi kapasiti yang ditetapkan di Jalan Lagenda Height di sini pada pukul 10.22 malam semalam.
Katanya, pemandu kereta itu dipandu seorang jurutektrik berusia 22 tahun dari Kampung Chong, Sik dekat sini didapati membawa empat penumpang.










