Tiga ditahan cuba rentas negeri - Utusan Malaysia

Tiga ditahan cuba rentas negeri

ADZLI ABU SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang wanita dan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas kesalahan cuba merentas negeri tanpa permit ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini berkuat kuasa sejak 1 Mei lalu.

Ketiga-tiga individu itu yang menaiki pengangkutan awam dari Pulau Pinang ke Sungai Petani ditahan menerusi Op Covid-19 PKP 2021 di sekatan jalan raya (SJR) di Tol Sungai Petani Selatan di sini hari ini.

Wanita warga tempatan dan seorang PATI rakyat Myanmar ditahan pada pukul 10.17 pagi manakala PATI warga Indonesia pula diberkas pukul 1.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, wanita berusia 35 tahun itu berasal dari Bedong dekat sini dan bekerja kilang.

Menurutnya, dua PATI yang ditahan itu merupakan rakyat Myanmar dan Indonesia, berusia 67 dan 33 tahun.

“Wanita terbabit dikenakan kompaun mengikut Perkara 4(1) Peraturan-Peraturan dan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB), Kawalan Pergerakan (No. 4) 2021.

“Dua PATI itu ditahan kerana melanggar PPDPPB dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan 1963 iaitu gagal mengemukakan dokumen diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Adzli Abu Shah menambah, polis akan melakukan pemeriksaan ketat terhadap orang ramai yang menaiki kenderaan awam untuk mengelakkan mereka cuba merentas negeri.

“Kita tidak bertolak ansur terhadap orang ramai yang gagal mematuhi perintah larangan rentas negeri dan melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN