GEORGETOWN: Polis menyiasat penemuan tengkorak manusia di dalam longkang di Jalan Maklom, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Sofian Santong berkata, tengkorak itu ditemukan semalam oleh seorang lelaki berusia 22 tahun yang kemudian memaklumkannya kepada majikan syarikatnya bekerja.
“Lelaki berkenaan yang bekerja sebagai kelindan lori sedang menghisap rokok di lokasi kejadian.
“Dia ternampak satu objek disyaki tengkorak manusia di dalam lubang longkang yang terbuka lalu memaklumkan kejadian itu kepada majikannya,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan forensik dan Unit K9 Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang tiba ke lokasi kejadian sejurus selepas mendapat laporan mengenai kejadian itu.
“Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) telah dimaklumkan dan pihak polis menghantar objek tersebut ke Jabatan Forensik.
“Pihak polis juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya.
Tambahnya, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut sehingga laporan hasil bedah siasat diperoleh.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi balai polis terdekat,” katanya.










