KUALA LANGAT: Peladang-peladang perlu meneroka teknologi tinggi bagi memastikan pulangan yang lebih menguntungkan dari projek pertanian yang diusahakan.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar, beliau merujuk kepada teknologi pertanian yang diusahakan oleh usahawan daripada Belanda di Cameron Highlands yang dirasakan boleh meningkatkan hasil tani tempatan.
“Usahawan daripada Belanda tersebut boleh menjana hasil pertanian sebanyak 114 peratus berbanding kaedah pertanian biasa. Sudah sampai peladang di daerah ini menggunakan teknologi tinggi sedemikian.
“Kita perlu meneroka teknologi tinggi terkini yang mampu meningkatkan hasil dan meninggalkan kaedah lama yang kurang menguntungkan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Peruntukan Parlimen P.112 Kuala Langat dan Majlis Berbuka Puasa di Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) Jalan Waja malam tadi.
Yang hadir sama ialah Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Dr.Abdul Razak Khasbullah.
Abdul Razak berkata, pihaknya dari semasa ke semasa memang menggunakan teknologi fertigasi dan teknologi tinggi melibatkan satelit untuk memastikan pulangan tinggi pada pihak peladang.
“Kita mengaplikasi teknologi tinggi terkini di ladang cili merah pada masa ini. Namun, cadangan Datuk Dr.Xavier akan dikaji untuk kebaikan peladang tempatan.
“Kita juga mengucapkan terimakasih kepada beliau atas sumbangan RM50,000 untuk menaiktaraf pejabat PPHL,”katanya. -UTUSAN ONLINE











