Sultan Johor gesa masyarakat komited lakukan kawalan kendiri - Utusan Malaysia

Sultan Johor gesa masyarakat komited lakukan kawalan kendiri

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa seluruh lapisan masyarakat agar komited melaksanakan saranan kawalan kendiri yang dilihat penting dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Baginda bertitah, hal itu kerana jumlah kes positif yang dilaporkan hari ini iaitu lebih 7,400 merupakan satu angka yang amat membimbangkan.

Titah baginda, virus itu tidak bergerak akan tetapi ia disebarkan melalui pergerakan orang ramai.

“Kita bukan hanya perlu berdisiplin untuk tidak keluar rumah, tetapi, kita juga perlu ada kesedaran bahawa tindakan keluar ke tempat awam mahupun ke rumah jiran sahaja akan menyebabkan kita terjangkit atau kita sendiri menjadi pembawa dan menjangkiti orang lain.

“Jangan pentingkan diri sendiri, fikirlah juga orang lain,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) seperti yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah agar kerajaan mempertimbang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh jika angka Covid-19 tidak menunjukkan sebarang tanda penurunan.

“Biar kita telan ubat yang pahit sekarang daripada menanggung sakit yang melarat dan berterusan,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa simpati kepada petugas barisan hadapan khususnya kakitangan perubatan yang menanggung bebanan dan tanggungjawab besar akibat virus itu.

“Kepenatan dan kegelisahan mereka jelas kelihatan, namun, mereka tetap menjalankan tugas sebaik mungkin. Ingat, bukan Covid-19 sahaja penyakit yang perlu mereka tangani.

“Kasihanilah mereka. Kita semua harus bersatu memainkan peranan untuk mengurangkan beban mereka dan putuskan rantaian jangkitan demi kebaikan kita semua,” titah baginda.

Sementara itu, baginda turut menyeru golongan berkemampuan untuk menghulurkan bantuan dalam apa bentuk sekalipun kepada individu yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN