Sultan Ibrahim kemudi bot laju kurnia sumbangan kepada penduduk pulau - Utusan Malaysia

Sultan Ibrahim kemudi bot laju kurnia sumbangan kepada penduduk pulau

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada 116 penduduk di Pulau Pemanggil, Pulau Aur dan Pulau Sibu di Mersing, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengemudi sendiri bot laju ketika berangkat ke Pulau Sibu di sini untuk menyampaikan kurniaan kepada penduduk di pulau berkenaan.

Menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, meskipun cuaca panas sejak pagi ia tidak menghalang baginda berangkat menyampaikan sumbangan peribadi kepada penduduk di Pulau Pemanggil, Pulau Aur dan Pulau Sibu.

Seramai 116 keluarga iaitu 38 keluarga di Pulau Aur, 25 keluarga di Pulau Pemanggil dan 53 keluarga di Pulau Sibu menerima kurniaan peribadi daripada Sultan Johor.

Baginda juga bertitah agar sumbangan berkenaan dapat digunakan untuk sambutan Aidilfitri yang semakin hampir.

“Saya amat berharap sumbangan yang disampaikan digunakan sebaik mungkin dan tidak lama lagi Aidilfitri menjelang tiba,” titah Sultan Ibrahim.

Pada masa sama, baginda turut menasihatkan penduduk di pulau tersebut supaya menjaga kesihatan masing-masing bagi mengelak penularan Covid-19.

Sementara itu seorang nelayan di Pulau Sibu, Abdul Ghani Syed Idrus, 61, bersyukur di atas kurniaan sumbangan yang diterima daripada Sultan Ibrahim.

Dia yang sudah 50 tahun menetap di pulau berkenaan turut meluahkan rasa gembira apabila dapat berjumpa baginda.

“Sultan Johor tidak pernah melupakan kami yang menetap di pulau, sungguh gembira apabila dapat bertemu baginda yang berkenan berangkat dan menyampaikan sumbangan.

“Semoga Allah SWT merahmati baginda dengan penuh kebaikan dan melanjutkan usia Sultan Ibrahim,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN