KUANTAN: Umat Islam di seluruh negara diseru menggunakan senjata doa agar kemenangan diberikan kepada rakyat di Palestin mengikut ketetapan dan perancangan Allah SWT.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan pertolongan kepada pejuang jihad Palestin bagi menentang kezaliman Zionis.
Umat Islam juga katanya, perlu terus bersolidariti bersama rakyat Palestin yang tertindas.
“Percayalah, menerusi solidariti daripada masyarakat Islam ia mampu membantu rakyat Palestin untuk meneruskan hidup di tanah tumpah darah mereka.
“Kita perlu terus memberikan mereka semangat dan menyebarkan mesej keamanan dan keselamatan sebagai tanda respons dan pendirian kita umat Islam terhadap isu keganasan yang dilakukan oleh rejim Zionis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Isu di Gaza, Palestin kini kian meruncing. Di kala kita dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri, tetapi masyarakat Islam di sana berdepan ancaman dan kekejaman yang boleh meragut nyawa mereka.
Seperti dilaporkan Kementerian Kesihatan Palestin sehingga semalam, serangan udara Israel yang berterusan ke atas Semenanjung Gaza setakat ini telah membunuh 83 warga Palestin, termasuk 17 kanak-kanak dan lapan wanita.
Sementara itu, 487 orang dilaporkan cedera sejak serangan bermula lebih dari dua hari yang lalu.
Tentera Israel mengatakan telah menyerang Gaza lebih dari 600 kali, sementara Hamas melancarkan lebih 1,600 roket ke arah Israel, dengan kebanyakannya telah dipintas dan dimusnahkan.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, umat Islam perlu bertindak bersama untuk mematahkan naratif keganasan dan agresif yang sekian lama mencengkam Palestin dengan menyebarluaskan naratif positif.
Menurutnya, berikan sokongan padu dan berterusan kepada rakyat Palestin demi mencapai kebebasan mutlak daripada penjajahan haram Israel di negara itu.
“Usaha berterusan sedemikian penting ke arah pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
“Pada 2012, bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Dr. Henry Kissinger dilaporkan pernah berkata bahawa Israel akan lenyap dalam masa 10 tahun lagi, iaitu pada tahun 2022, apakah ini akan menjadi kenyataan?,” soalnya.










