PUTRAJAYA – Tempahan slot janji temu bagi pusingan kedua vaksin AstraZeneca kepada individu bawah usia 60 tahun akan dibuka untuk pendaftaran bermula tengah hari esok.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, permohonan bagi kemudahan vaksin sukarela itu membabitkan agihan di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.
Beliau berkata, sebelum ini, kemudahan vaksin itu dibuka kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas bermula Ahad lalu.
“Setakat ini, sebanyak 228,000 slot janji temu diperoleh daripada warga emas sejak ia dibuka untuk tempahan Ahad lalu.
“Agihan pusingan kedua AstraZeneca ini akan turut membabitkan empat PPV baharu masing-masing di Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang; Persada Johor International Convention Center, Johor Bahru; Borneo Convention Center Kuching, Sarawak dan Institut Kemahiran Belia Negara Miri, Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar mingguan perkembangan PICK, hari ini.
Katanya, pusingan kedua agihan AstraZeneca ini membabitkan sejumlah 1.26 juta dos yang diterima negara pada 21 Mei dan akhir bulan ini.
Khairy berkata, setakat ini, jumlah terkini yang mendaftarkan diri bagi slot janji temu AstraZeneca adalah seramai 228,347 orang termasuk 30,000 daripada senarai menunggu pada pusingan pertama dahulu.
Dalam pada itu, Khairy berkata, empat PPV PICK di Stadium Titiwangsa, Dewan Komuniti Manjalara, Kompleks Sukan Desa Tasik dan Komuniti Muhibbah akan ditutup bagi mengelak kesesakan.
Menurutnya, semua janji temu bagi empat PPV itu bermula 31 Mei hingga 7 Jun akan dipindahkan ke dua lokasi PPV bersaiz mega yang lebih selesa iaitu di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Jalan Duta dan Axiata Arena, Bukit Jalil.
Selain itu, Khairy berkata, ketika ini, kadar vaksinasi Covid-19 bagi Malaysia mulai meningkat iaitu pada kadar 75,000 dos sehari malah, ia pernah mencapai rekod tertinggi semalam dengan 95,000 dos.
“Kita jangka kadar vaksinasi ini akan meningkat kepada 150,000 dos sehari seperti disasarkan bermula bulan depan.
“Negara akan menerima bekalan vaksin seterusnya daripada Pfizer membabitkan 260,910 dos minggu ini termasuk 320,000 dos vaksin Sinovac yang dibekalkan oleh Pharmaniaga dan tambahan 500,000 vaksin Sinovac dari China yang diterima 21 Mei lalu,” katanya. -UTUSAN ONLINE










