SANDAKAN: Seramai 496 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang menerusi Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga, Filipina semalam.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, program penghantaran pulang PATI Siri 7/2021 ini melibatkan semua PATI warganegara Filipina yang ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar sejak 2020.
Beliau berkata, penghantaran pulang ini adalah program kali ketiga selepas dua siri penghantaran PATI warganegara Filipina yang telah diusir berjumlah 674 orang.
Sejak Januari sehingga Mei, jumlah keseluruhan PATI yang diusir keluar dari Sabah adalah seramai 1,725 orang.
“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Kedutaan Republik Filipina yang diketuai oleh Konsul Leandro Luiz S. Manantan.
“Proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan Covid-19 untuk setiap PATI bagi suatu tempoh yang ditetapkan turut dilakukan bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan PATI yang dihantar pulang seperti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan
“Kesemua PATI yang ditahan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua PATI telah menjalani hukuman mengikut perundangan negara untuk diusir keluar dari Sabah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Muhamad Sade turut mengingatkan semua warga asing yang ingin masuk ke Sabah supaya memiliki dokumen perjalanan yang sah dan mendapat kebenaran masuk ke negeri ini.
Katanya, semua agensi penguat kuasaan akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan ini.
Program Penghantaran Pulang ini merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh Jabatan Imigresen Sabah bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen seluruh negeri ini.
Katanya, Jabatan Imigresen Sabah akan terus komited melakukan tindakan penguatkuasaan dan penghantaran pulang PATI setelah mereka menjalani semua proses perundangan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing. – UTUSAN ONLINE










