KOTA KINABALU : Ketika diri sendiri berada dalam keadaan tidak berdaya kerana kesukaran bernafas akibat dijangkiti Covid-19 Maruf Ismail, 60, dimaklumkan berita pemergian kakaknya yang meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang kronik.
Maruf berkata, perasaan sedih tidak dapat berada di sisi kakaknya pada saat-saat akhir antara perkara yang amat dikesali.
“Dua hari sebelum saya dibenarkan pulang dari Hospital Queen Elizabeth (HQE), saya dimaklumkan melalui panggilan telefon bahawa kakak saya telah meninggal dunia.
“Saya hanya mampu melihat kerja-kerja pengebumiannya melalui rakaman video. Perkara sebegini yang membuatkan saya enggan mendapatkan rawatan Covid-19 di hospital kerana terpaksa diasingkan daripada anggota keluarga.
“Apabila tonton dalam televisyen, kita nampak pesakit Covid-19 yang meninggal dunia tidak boleh diuruskan oleh ahli keluarga. Situasi begini yang membuatkan saya terfikir sekiranya ditakdirkan saya meninggal dunia di hospital, tiada ahli keluarga yang dibenarkan menguruskan dan memandikan jenazah saya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Penghidap asma ini berkata, biarpun menghidap Covid-19 tahap empat dan berdepan kesukaran untuk bernafas namun gejala yang dihadapi tidak memudaratkan diri dan membolehkan dia sembuh seperti sedia kala.
Bekas pesara Jabatan Bomba dan Penyelamatan Malaysia (JBPM) Sabah itu berkata, jangkitan Covid-19 berbeza pada setiap pesakit dan bagi pesakit asma sepertinya, dia mengalami demam dan kesukaran untuk bernafas.
“Sebelum ini apabila diserang asma, rasa sakit dada akan hilang apabila dipam tetapi semasa mula-mula dijangkiti Covid-19, berkali-kali pam pun masih juga terasa sakit. Demam juga tidak pandai baik biarpun berapa biji panadol dan panadol soluble dimakan setiap hari,” katanya.
Maruf bersama lapan lagi anggota keluarganya yang menetap di Kampung Ketiau, Putatan, Sabah dijangkiti Covid-19 daripada anaknya yang mendapat jangkitan semasa bertugas di hospital.
Namun, hanya dia bersama dua anaknya menjalani kuarantin di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC). Ahli keluarga lain yang tidak mempunyai gejala teruk diarahkan menjalani kuarantin di rumah.
Menurutnya, dia dijangkiti pada 4 Januari dan dibenarkan keluar hospital pada 13 Januari. Walaupun sudah sembuh daripada Covid-19 namun, rasa sakit dada yang dialami masih terasa hingga sekarang.
Isterinya, Juliana Tinggal, 55, yang turut disahkan positif Covid-19 berkata, stigma masyarakat terhadap pesakit Covid-19 sangat sukar untuk diubah.
Apabila sembuh daripada Covid-19, keluarga dan jiran tetangga meminggirkan mereka sekeluarga terutama semasa proses pengurusan jenazah arwah kakak suaminya.
“Disebabkan kami sekeluarga menghidap Covid-19, ada yang menyebarkan khabar angin bahawa arwah kakak suami juga meninggal akibat Covid-19. Begitu sukar untuk mengubah persepsi masyarakat mengenai Covid-19,” katanya.- UTUSAN ONLINE