Rayakan Aidilfitri dengan kebiasaan baharu - Utusan Malaysia

Rayakan Aidilfitri dengan kebiasaan baharu

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Aidilfitri hendaklah dirayakan dengan kebiasaan baharu berikutan wabak Covid-19 yang sedang melanda.

Baginda bertitah, dalam keriangan menyambut Aidilfitri, wajib diambil ingatan bahawa dunia sedang bergelut menghadapi musibah berpunca daripada virus Covid-19.

“Sedarilah lebih 160 juta jangkitan telah berlaku dan lebih 3.5 juta kematian telah diratapi.

“Oleh itu, Aidilfitri hendaklah dirayakan dengan norma baharu, mematuhi peraturan jarak fizikal yang ditetapkan, kunjungan mengunjungi antara rumah diminimumkan, perhimpunan dalam bilangan yang ramai tidak diadakan, agar jangkitan dapat dikawal daripada terus merebak,” titah baginda dalam perutusan Aidilfitri hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, sejak wabak Covid-19 melanda dunia, ramai yang kehilangan ahli keluarga, ramai yang terputus sumber pendapatan, ramai yang hilang pekerjaan dan bertambah ramai yang menganggur.

Baginda bertitah, ekonomi dunia terjejas teruk, setiap hari bertambah ramai orang yang jatuh ke lembah kemiskinan.

“Oleh itu, dalam kalangan kita yang bertuah, dilindungi Ilahi daripada jangkitan penyakit dan dalam kalangan kita yang terus dilimpahi rezeki, pamerkan sifat kesyukuran dengan menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara kita yang sedang dibelenggu kesusahan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, dalam keriangan Aidilfitri, rakyat sama-sama menghargai beban berat yang ditanggung oleh para petugas barisan hadapan menangani wabak Covid-19, terutamanya para doktor, jururawat dan kakitangan pembantu di hospital.

Titah baginda, sudah lebih setahun mereka bertugas tanpa mengenal rehat, menghadapi keletihan, menghadapi risiko, berusaha mahu meringankan tanggungan pesakit, berusaha untuk menyelamatkan sebanyaknyawa.

Sehubungan itu, baginda dan Raja Permaisuri Perak menzahirkan penghargaan kepada khidmat yang mereka laksanakan secara komited.

“Demikian juga penghargaan Beta dan Raja Permaisuri kepada pelbagai pihak yang mengendalikan pelbagai khidmat untuk membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman, tenteram, riang dan meriah, anggota pasukan keselamatan, polis dan angkatan tentera, anggota bomba, kakitangan penjara, imigresen dan kastam, sektor pengangkutan dan sektor perkhidmatan.

“Begitu juga kakitangan media, radio dan televisyen. Semoga khidmat mereka diterima oleh Allah, sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan semasa di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika di alam barzakh dan diberatkan timbangan amal ketika di Padang Mahsyar,” titah baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN