Ramai ditahan gagal daftar butiran - Utusan Malaysia

Ramai ditahan gagal daftar butiran

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam naik semula dengan seramai 370 individu dicekup semalam berbanding 301 individu diberkas kelmarin.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 366 dikompaun manakala tiga lagi direman dengan kes tertinggi masih lagi gagal merekod butiran atau daftar masuk premis.

Kesalahan tersebut ujar beliau, mencatatkan sebanyak 237 kes, diikuti mereka yang tidak memakai pelitup muka (60), aktiviti pusat hiburan (33), tiada jarak fizikal (22) dan lain-lain (18).

“Seramai 14 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan tiga kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng selain sebanyak 144 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui lapan aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 795 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya diarah kuarantin yang pada ketika ini seramai 8,611 individu terbabit masih lagi menjalani proses itu.

Sejumlah 1,815 individu terlibat telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 185,613 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam melakukan sejumlah 2,162 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis terlibat didapati mematuhi peraturan.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN