PETALING JAYA: Satu siasatan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung paparan di Instagram ibu usahawan dan selebriti terkenal, Neelofa, Noor Kartini Noor Mohammed yang memaparkan paparan visual Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan memuat naik komen berbaur sensitif.
Siasatan itu dijalankan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh Noor Kartini kira-kira pukul 5.44 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, siasatan awal mendapati hantaran tersebut telah dimuat naik seorang wanita berusia 32 tahun.
Kata beliau, wanita berkenaan mengaku tersilap menggunakan instagram milik Noor Kartini dengan membuat hantaran berkenaan.
“Kes ini masih dalam penyiasatan polis kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Anuar turut menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya mengongsikan sebarang maklumat atau berita di media sosial hingga menjejaskan reputasi dan hak asasi mana-mana orang.
Kata beliau, sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai yang berdekatan.
Terdahulu, Noor Kartini membuat permohonan maaf kepada Istana Negeri Johor khususnya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas kekhilafan seorang pekerja memuat naik komen berbaur sensitif menggunakan akaun Instagram miliknya.
Menurut Noor Kartini, dia menyedari isu berhubung tangkap layar daripada Instagram Story (IGS) miliknya setelah bertebaran di media sosial yang memaparkan komen mengenai sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.
Kata beliau, perkara tersebut berlaku di atas kecuaian salah seorang pekerjaan yang mempunyai akses kepada akaun Instagram miliknya.
Perkara tersebut timbul selepas ramai membuat ciapan di Twitter mengenai ibu Neelofa itu yang dikatakan berani membuat kenyataan berbaur cabaran menyentuh isu perlembagaan diraja.
Hantaran yang dimuat naik berbunyi kalau prihatin suruh lah Agong batalkan darurat!! Cakap je lebih!!’ disertakan dengan video latar belakang memaparkan wajah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Perkara tersebut juga telah mendapat perhatian daripada keluarga diraja tersebut dan antara yang memberi tanda isyarat mengenai hantaran itu ialah anakanda ketiga Sultan iaitu Tunku Idris Iskandar.
Respons yang diberikan oleh Tunku Idris menerusi akaun Instagramnya juga menerima reaksi pelbagai daripada para pengikutnya selepas dia memuat naik sebuah ayat yang dipercayai merujuk kepada perbuatan Noor Kartini itu.-UTUSAN ONLINE