Polis musnahkan sarang pengganas Kumpulan Abu Sayyaf - Utusan Malaysia

Polis musnahkan sarang pengganas Kumpulan Abu Sayyaf

Yusoff Zaki Mat Yaacob meninjau proses pemusnahan penempatan yang menjadi sarang persembunyian Kumpulan Abu Sayyaf di Beaufort, Sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEAUFORT: Sarang pengganas Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) di kawasan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna dimusnahkan dalam satu operasi meroboh rumah setinggan hari ini.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, dalam operasi ini sebanyak enam rumah yang dijadikan tempat persembunyian ASG dimusnahkan dan dibakar.

Kawasan setinggan ini adalah penempatan bagi lima pengganas termasuk sub ketua Kumpulan Abu Sayyaf yang mati ditembak 17 Mei lalu.

Beliau berkata, enam rumah setinggan ini terletak di point B manakala, terdapat 30 buah rumah lagi di point A yang akan dimusnahkan kemudian setelah keadaan banjir surut.

“Point B ini adalah kubu terakhir yang mengawal laluan keluar dan masuk di penempatan setinggan berkenaan. Ini adalah lokasi kejadian tembak-menembak iaitu pasukan keselamatan diserang hendap dari segenap sudut.

“Point A yang menempatkan 30 buah rumah kini ditenggelami air dan ia merupakan lokasi persembunyian lapan pengganas ASG serta 29 anggota keluarga mereka termasuk kanak-kanak yang ditangkap pada 8 Mei lalu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Yusoff Zaki berkata, dalam operasi ini seramai 60 anggota pasukan keselamatan termasuk PDRM, Pejabat Daerah Beaufort, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Alam Sekitar .

Katanya, operasi yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Daerah (IPD) Beaufort ini tidak akan berhenti setakat ini kerana gerakan untuk mengesan saki baki ahli kumpulan berkenaan sedang giat dijalankan.

Menurutnya, semua anggota dan pegawai sudah dikerahkan untuk memasuki dan memantau kawasan setinggan lain bagi memastikan tiada lagi kehadiran kumpulan pengganas di sini.

“Kita juga menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan khabar angin yang mendakwa Beaufort tidak selamat disebabkan kehadiran pengganas.

“Ia tidak benar sama sekali dan saya memberi jaminan daerah ini berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga sentiasa bersiap sedia sepanjang masa bagi memastikan keadaan di sini sentiasa selamat. 

Masyarakat di daerah ini juga diminta untuk tampil menyalurkan maklumat sekiranya berlaku sebarang pergerakan luar biasa di kawasan mereka.- UTUSAN ONLINE 

 

Ends.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN