Polis KL perketat kawalan bermula esok - Utusan Malaysia

Polis KL perketat kawalan bermula esok

Sekatan jalan raya akan dkekalkan bagi mengawal sempadan negeri- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Operasi pematuhan akan diperketatkan Polis Kuala Lumpur di seluruh kawasan bagi mengawal penularan Covid-19 berikutan enam daerah di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai esok.

Langkah ini juga dibuat berikutan Kuala Lumpur merekodkan peningkatan kes yang ketara sebanyak 419 kes positif baharu semalam berbanding 206 kes kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, tindakan kompaun tidak akan teragak-agak dikenakan terhadap individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Kata beliau, sepanjang tempoh 18 Mac hingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 15,150 kompaun dikeluarkan polis dan seramai 4,125 orang ditahan.

Manakala bagi tahun ini setakat semalam, sebanyak 9,123 kompaun dikeluarkan membabitkan 369 orang.

“Antara kesalahan dilakukan yang menyebabkan tindakan kompaun adalah tidak merekod butiran diri, tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka, berhibur di pusat hiburan, menaiki kenderaan melebihi had dan premis operasi lebih masa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pemantauan di sempadan Kuala Lumpur dan Selangor, Azmi berkata, pihaknya akan meningkatkan kawalan namun mengekalkan jumlah sekatan jalan raya sedia ada.

Justeru itu, orang ramai dinasihati supaya mematuhi SOP yang dikuatkuasakan oleh kerajaan demi keselamatan dan kesihatan diri masing-masing serta keluarga.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN