Polis kesan pemilik akaun twitter, sebar fitnah kompaun Raya di Nilai - Utusan Malaysia

Polis kesan pemilik akaun twitter, sebar fitnah kompaun Raya di Nilai

TANGKAP layar hantaran seorang pemilik akaun Twitter berbentuk fitnah kepada pasukan polis mengenai perlaksanaan kompaun perlanggaran SOP Aidilfitri 2021 di Nilai Impian, Nilai, Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis kini mengesan pemilik akaun Twitter @lcsmxms susulan tindakannya memuat naik hantaran berbentuk fitnah kepada pasukan polis mengenai perlaksanaan kompaun perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri 2021 di Nilai Impian, Nilai di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya juga menafikan gambar tular di media sosial berhubung pelaksanaan operasi pihak polis itu yang mengenakan kompaun sebanyak RM25,000 kepada tuan rumah dan RM5,000 kepada tetamu atas kesalahan melanggar SOP Aidilfitri 2021.

Menurutnya, gambar yang dimuat naik berkenaan sebaliknya merupakan gambar pemeriksaan rumah ke rumah pada hari raya pertama Aidilfitri di sekitar kawasan perumahan di Nilai Impian.

“Gambar itu telah disalah tafsir sebagai tindakan kompaun. Kejadian sebenar adalah kita melakukan tinjauan bersama dengan pihak media untuk melihat kadar pematuhan penduduk terhadap SOP Aidilfitri di kawasan berkenaan.

“Dalam tinjauan semalam, kami mendapati kadar pematuhan penduduk di kawasan perumahan di Nilai Impian berada pada tahap tinggi dan tiada sebarang aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Fazley menasihatkan agar orang ramai menghentikan sebarang penyebaran gambar atau berita tidak tepat untuk dimuat naik atau dikongsi di laman sosial.

Sementara itu, berdasarkan akaun twitter tersebut, individu berkenaan merupakan Ketua Editor sebuah portal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN