Polis kenal pasti individu bakar penghadang di laluan tikus - Utusan Malaysia

Polis kenal pasti individu bakar penghadang di laluan tikus

ROSLEE Chik (kiri) bersama Ahmad Samsuri Mokhtar mengagihkan juadah berbuka puasa kepada pengguna jalan raya di sekatan jalan raya (SJR) Perasing di Kemaman petang semalam.- UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Polis mengenal pasti individu yang membakar penghadang plastik dan kawat duri yang dipasang di laluan tikus di Kampung Gong Lapang, Besut, dalam kejadian minggu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, bagaimanapun maklumat terperinci mengenai perbuatan khianat itu masih belum boleh didedahkan buat masa ini.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dan kita mempunyai petunjuk baharu untuk mengenal pasti mereka yang terlibat melakukan perkara tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meninjau sekatan jalan raya (SJR) Perasing di sini petang semalam.

Sabtu lalu, polis Besut mengesan penghadang plastik dan kawat duri yang dipasang di Kampung Gong Lapang dibakar individu tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini beberapa penghadang plastik yang diletakkan di laluan-laluan tikus di sempadan Terengganu-Kelantan turut dirosakkan dengan dibocorkan dan dibuang air di dalamnya.

Dalam pada itu, Roslee berkata, sebanyak 30 laluan tikus di sempadan Terengganu-Kelantan ditutup di Besut bagi menghalang pergerakan keluar masuk rentas negeri secara tidak sah.

“Setakat ini sebanyak 17 individu termasuk enam di Besut dan 11 di Kemaman dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang atas kesalahan menggunakan lorong tikus untuk masuk ke negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN