Polis jumpa rangka lelaki dalam hutan selepas 20 hari tak balik rumah - Utusan Malaysia

Polis jumpa rangka lelaki dalam hutan selepas 20 hari tak balik rumah

POLIS memeriksa motosikal si mati yang ditemukan di lokasi penemuan rangka manusia di kawasan hutan berdekatan Batu 17, Ladang Kumpulan Melayu di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Polis menemukan rangka manusia disyaki seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 20 hari lalu di Batu 17, Ladang Kumpulan Melayu, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihak polis menerima aduan daripada orang awam pada pukul 10.30 pagi yang memaklumkan penemuan rangka tersebut.

Katanya, siasatan polis mendapati tempat kejadian terletak kira-kira lima kilometer dari Jalan Mersing-Kota Tinggi dan merupakan sebuah jalan tanah merah di kawasan hutan terpencil.

Tambahnya, identiti awal si mati dipercayai seorang warga emas berusia 66 tahun dikenali sebagai Zainal Mohd. yang beralamat di Felda Tenggaroh, Mersing.

“Siasatan polis di tempat kejadian mendapati, motosikal yang ditunggang si mati dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam hutan sewaktu menuruni laluan berbukit.

“Si mati bersama motosikalnya telah terperosok ke dalam kawasan semak kira-kira 100 meter dari bahu jalan tidak berturap. Kerosakan pada motosikal selari dengan kejadian terbabas berdasarkan kerosakan pada handle, cermin sisi yang pecah, pedal brek yang bengkok dan keadaan motosikal berada dalam semak,” katanya di sini hari ini.

Hussin berkata, turut ditemukan adalah sehelai baju, seluar jeans dan jaket berwarna merah dipercayai milik si mati yang akan digunakan untuk pengecaman waris.

Katanya, keadaan fizikal si mati telah mereput dan dipercayai telah diganggu haiwan liar sebelum ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dilakukan bagi tujuan perbandingan dengan waris.

“Siasatan lanjut mendapati si mati dipercayai telah keluar rumah di Tenggaroh pada 6 Mei yang lalu dan tidak balik dari tarikh berkenaan. Pada 18 Mei, warisnya datang ke Balai Polis Sungai Ambat untuk membuat laporan kehilangan.

“Pengecaman awal oleh ahli keluarga ke atas rangka yang ditemui adalah disyaki milik si mati berdasarkan kepada jaket warna merah dan juga motosikalnya yang berada di tempat kejadian,” katanya.

Tambah beliau, sampel darah adik perempuan si mati juga akan diambil untuk tujuan perbandingan DNA bagi mengesahkan hubungan keluarga dan status penemuan rangka manusia berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN