KUANTAN: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) dekat Indera Mahkota di sini diaktifkan semula bagi menampung pesakit Covid-19 berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus bermula hari ini.
Perkara itu diputuskan menyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 negeri dan disahkan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.
Menurutnya, pembukaan PKRC Sukpa bagi memberi keselesaan kepada pesakit berikutan kerajaan negeri menetapkan semua pusat kuarantin yang beroperasi perlu mengasingkan antara lelaki dan wanita.
“Kerajaan negeri menyarankan semua pusat kuarantin untuk membuat pengasingan bagi mengelakkan risiko lain yang tidak diingini.
“Sebelum ini kita mempunyai dua pusat kuarantin (PKRC) yang beroperasi di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuantan menempatkan 228 pesakit dan Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bukit Tinggi dengan kapasiti semasa berjumlah 119 pesakit.
“Kedua – dua PKRC itu sudah hampir mencapai kapasiti maksimum dan mesyuarat pagi tadi memutuskan untuk membuka semula PKRC di Sukpa sebagai persediaan bagi menempatkan pesakit menjalani proses kuarantin,” katanya di sini hari ini.
Che Adam berkata, setakat ini persiapan sedang giat dilakukan di PKRC Sukpa untuk melengkapkan semua keperluan dan kelengkapan serta dijangka bersedia menerima kemasukan pesakit lewat petang ini.
“Untuk kapasiti katil atau tempat bagi pusat kuarantin Sukpa, kita sediakan 250 tempat dan hanya pesakit lelaki sahaja dikuarantin di sini.
“Semua urusan lain termasuk penyediaan makanan dan keperluan lain untuk pesakit akan dilakukan semua agensi yang sudah diberikan tanggungjawab oleh kerajaan Pahang berdasarkan hasil mesyuarat Jawatankuasa Bencana negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE










